BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan, saya ingin bertanyakan soalan. Saya sebelum ini pernah bernazar untuk berpuasa selama 30 hari sekiranya saya mendapat hajat yang saya inginkan, dan puasa itu hendaklah saya habiskan sebelum Ramadhan tahun ini. Saya telah dikabulkan hajat yang dinazarkan tetapi saya belum boleh menghabiskan puasa tersebut sebelum Ramadhan kali ini. Persoalan saya, adakah saya perlu membayar fidyah bagi membayar hari2 puasa nazar yang belum terlaksana atau saya hanya perlu puasa selepas tamat bulan Ramadhan ini. Sekiranya saya perlu berpuasa sahaja, adakah puasa itu dikira puasa qadha' & adakah puasa nazar itu perlu digandakan? 

Sekian terima kasih, saya mengharap jasa baik pihak tuan untuk memberikan maklum balas. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

Nazar dari sudut istilah ialah sepertimana yang disebutkan dalam kitab al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafie:

اِلْتِزَامُ قُربُةِ لَم تَتَعَيَّن فِي الشَّرْعِ، إِمَّا مُطْلَقًا، أَوْ مُعَلَّقًا عَلَى شَيْء

Maksudnya: Mewajibkan atas diri sendiri suatu perbuatan qurbah (mendekatkan diri dengan Allah) yang tidak ditentukan dalam syarak, sama ada secara mutlak atau pun dengan menta’liqkan (iaitu mengaitkan) dengan suatu perkara.

Allah SWT memerintahkan umat Islam untuk menunaikan nazar yang telah dilafazkan sepertimana firman Allah SWT dalam al-Quran dalam surah al-Hajj ayat 29:

ثُمَّ لْيَقْضُوا تَفَثَهُمْ وَلْيُوفُوا نُذُورَهُمْ وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ

Maksudnya: Kemudian hendaklah mereka membersihkan dirinya dan hendaklah mereka menyempurnakan nazar-nazarnya, dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.

Begitu juga, jika sekiranya seorang itu bernazar untuk melakukan sesuatu ketaatan kepada Allah SWT, maka hendaklah dia menunaikannya. Namun, jika dia bernazar untuk melakukan maksiat atau sesuatu perkara yang bertentangan dengan syariat, maka dilarang menunaikannya. Hadis daripada Saidatina Aisyah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ نَذَرَ أَنْ يُطِيعَ اللَّهَ فَلْيُطِعْهُ، وَمَنْ نَذَرَ أَنْ يَعْصِيَهُ فَلاَ يَعْصِهِ

Maksudnya: Barangsiapa yang bernazar untuk mentaati Allah maka hendaklah dia melaksanakan ketaatan itu, dan barangsiapa yang bernazar untuk melakukan maksiat maka janganlah dia melakukan maksiat itu. (Riwayat al-Bukhari)

Berdasarkan situasi yang berlaku, tuan wajib menunaikan puasa nazar yang gagal ditunaikan sebelum bulan Ramadhan yang lepas sebagai puasa qada' nazar. Jumlah hari yang perlu diqada' tidak berganda dan tuan tidak perlu membayar fidyah atas kelewatan tersebut. Perbanyakkanlah beristiqfar kepada Allah SWT di atas kelewatan menunaikan nazar tersebut. 

Adalah dinasihatkan agar tidak bernazar dengan sesuatu perkara yang akan memberatkan diri sendiri. Ini kerana Rasulullah SAW pernah bersabda:

لا تَنْذرُوا، فإنَّ النَّذْرَ لا يُغْنِي مِنَ القَدَرِ شيئًا، وإنَّما يُسْتَخْرَجُ به مِنَ البَخِيلِ

Maksudnya: Janganlah kamu untuk bernazar (dengan sesuka hati), kerana sesungguhnya nazar tidak akan mengubah daripada takdir yang telah ditentukan Allah SWT sedikitpun. Hanyasanya ia dikeluarkan daripada orang yang bakhil. (Riwayat Muslim)

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.     

 

                                            


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 431

message user image