BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya seorang ibu kepada dua orang anak perempuan, Alhamdulillah. Baru-baru ni ada terbaca tentang penggunaan yang luas menstrual cup. Mohon huraikan pemakaian menstrual cup bagi golongan yang belum berkahwin dari segi sosial memandangkan pemakaiannya perlulah dengan memasukkan cup tersebut ke dalam rongga faraj. Lebih-lebih lagi kepada golongan anak-anak yang baru pertama kali datang haid. Sedikit sebanyak, memasukkan cup tersebut akan memberi sensasi sakit atau nikmat bergantung kepada individu, secara tidak langsung akan memberi idea kepada anak-anak yang baru pertama kali datang haid atau mana-mana wanita yang belum bernikah  'rasa' apabila sesuatu masuk ke dalam faraj. Kemungkinan yang boleh berlaku, keinginan untuk merasai keadaan sebenar dan berlakunya persetubuhan luar nikah. Astaghfirullah.  Semoga anak-anak kita semua dijauhkan dari mempunyai keinginan di atas. 

Saya mohon, memberikan jawapan yang tegas dari segi hukum pemakaian cup ke atas wanita islam yang belum bernikah bukan sekadar dibolehkan selagi tidak memudharatkan. Mohon memandang permasalahan ni dari semua sudut. 

Sekian, terima kasih. 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada persoalan puan; secara asasnya menstrual cup atau (cawan menstruasi) merupakan sejenis cawan elastik yang diperbuat daripada getah atau silikon yang digunakan untuk tujuan mengumpul cairan sama ada darah atau keputihan. Menstrual cup mempunyai pelbagai saiz dan ia digunakan dengan cara memasukkan ke dalam vagina. Penggunaan alat ini bergantung kepada kuantiti dan tempoh haid yang dialami wanita. Wanita boleh memakainya sehingga 12 jam dalam sehari. Penjagaan rapi dan kebersihan memakai cawan menstruasi sangat perlu dijaga dengan membasuh dan mensteril menstrual cup tersebut sebelum dipakai pada kitaran haid selepasnya.

Secara asasnya, penggunaan menstrual cup adalah harus selagi mana penggunaannya tidak mendatangkan mudarat kepada penggunanya dan bukan diperbuat daripada bahan najis.  Namun, tidak dinafikan terdapat sebahagian menyatakan keburukan penggunaan menstrual cup seperti mendatangkan rasa sakit dan keradangan pada sebahagian wanita. Selain itu, menstrual cup  ada juga yang menyatakan ia hanya digalakkan kepada wanita yang sudah berkahwin kerana boleh menjejaskan hymen atau selaput dara bagi wanita yang belum berkahwin. Sehingga kini belum terdapat bukti jelas penggunaan menstrual cup ini boleh memudaratkan pengguna yang belum berkahwin melainkan jika kebersihan dalam memakainya tidak dijaga dengan baik.

Alat ini juga merupakan salah satu alat menstruasi pilihan yang terdapat di pasaran selain daripada cotton pad, tampon dan lain-lain. Maka, wanita boleh memilih salah satu daripada alat ini mengikut keperluan dan keselesaan masing-masing. Sila rujuk doktor perubatan untuk melihat tahap kesesuaian dan keserasian produk yang digunakan pada diri wanita. 

Namun, sekiranya menstrual cup ini digunakan dengan sengaja sebagai alat pemuas nafsu diri terutamanya bagi wanita yang belum berkahwin maka hukumnya sama seperti beronani (mengeluar air mani tanpa melalui proses bersetubuh) dengan cara haram kerana perbuatan tersebut menghampiri dan menggalakkan perbuatan zina. Maka hal ini hendaklah dicegah supaya  tidak mengganggu tubuh badan dan fikiran. Firman Allah SWT dalam surah al-Nur ayat 30 & 31:

‏ قُل لِّلْمُؤْمِنِينَ يَغُضُّوا مِنْ أَبْصَارِهِمْ وَيَحْفَظُوا فُرُوجَهُمْ ۚ ذَٰلِكَ أَزْكَىٰ لَهُمْ ۗ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا يَصْنَعُونَ ‎﴿٣٠﴾‏ وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ…

Maksudnya: Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya tentang apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya;…”

Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 365

message user image