BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Semakan isu Azan yg lebih cepat dari Azan Maghrib di Siaran TV Alhijrah

Situasi :
Tarikh 28 Mac 2023. 
Waktu Maghrib.
Surau Attanwir Taman Raintree, Batu Caves, Selangor.

InfoTV kami baru saja siap install Apps Waktu Solat dan diselaraskan mengikut Internet.

Kami juga ada Jam waktu solat sedia ada yg selalu kami gunakan sebagai semakan kedua sebelum Azan. Jam ini setakat memaparkan minit dan tidak ada paparan saat

Muazzin melihat Jam InfoTV dan tunggu bib Jam Azan seperti kebiasaan kerana sebelum ini Jam Azan lewat dlm kiraan saat.
Kemudian doa ringkas dan basmallah dan meneguk air sahaja tanpa makan kurma.
Selepas itu Azan.

Jemaah maklum telah mendengar azan dari corong pembesar suara Surau dari rumahnya lebih awal dari Azan diTV Alhijrah beberapa saat (tiada semakan tepat tapi saya anggarkan bawah 40 saat shj)

Jika mengambil kira azan di TV Alhijrah sebagai paling tepat, Muazzin pada anggapan kami telah berbuka 45 saat awal dari Azan di TV Alhijrah dan sebahagian yg iftar disurau mungkin berbuka paling awal 30 saat dari Azan di TV Alhijrah (ambil kira doa dan basmallah sebelum berbuka)

Harap pihak Jabatan Mufti dapat bantu kami merujuk hukum bagi perkara diatas.
 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Waktu sebenar yang diambil kira dalam isu waktu berbuka puasa ialah apabila terbenamnya matahari. Pengiraan yang dibuat oleh ahli falak berbentuk kalendar, jam, termasuk aplikasi yang memaparkan waktu solat adalah bersifat zhanni. Walau bagaimanapun, bergantung kepada alat seperti jam atau seumpamanya adalah dibenarkan selagi mana ianya bertepatan dengan realiti semasa iaitu telah terbenam matahari bagi waktu solat Maghrib.

Dalam situasi ini, sekiranya terbukti bahawa dia telah berbuka lebih awal daripada waktunya, maka dia dianggap telah berbuka sebelum masuk waktunya, maka puasanya dihukumkan batal dan dia wajib menggantikan puasanya tersebut pada hari yang lain. Isu ini dijelaskan oleh Syeikh Mustafa Bugho dalam kitab Fiqh al-Manhaji:

وكذلك إذا أفطر في آخر النهار ظاناً غروب الشمس، ثم تبين أنها لم تكن قد غابت بعد بطل صيامه، ووجب عليه القضاء

Maksudnya: Begitu juga sekiranya dia berbuka pada penghujung siang kerana menyangka telah terbenam matahari (masuk waktu maghrib), kemudian ternyata bahawa matahari belum terbenam, maka batal puasanya. Wajib ke atasnya qada.

Selain itu, berdasarkan kaedah al-fiqhiyyah:

لَا ‌عِبْرَةَ ‌بِالظَّنِّ ‌الْبَيِّنِ ‌خَطَؤُهُ

Maksudnya: Tidak diambilkira zan atau sangkaan yang jelas kesalahannya

Berdasarkan rujukan pada aplikasi atau jam pada awalnya, kita menyangka bahawa waktu telah masuk, namun sangkaan tersebut ternyata salah. Justeru, sangkaan tersebut tidak diambil kira. Oleh itu, kami menyarankan agar pihak surau mengambil langkat ihtiyat (berhati-hati) dalam bergantung kepada sebarang alat seperti jam, takwim, aplikasi dan lain-lain. Sebaiknya, hendaklah dipastikan terlebih dahulu bahawa waktu berbuka puasa telah benar-benar masuk atau menunggu azan daripada masjid dan surau sekitar atau lain-lain kaedah. Hal ini kerana tidak salah melewatkan sedikit waktu berbuka bagi memastikan waktu telah masuk secara yakin.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 126

message user image