Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Bolehkah bakal suami menggunakan mata wang dari negara lain untuk mas kahwin ? contohnya dollar singapore atau thai baht. jumlah itu akan disebut semasa akad. adakah dibenarkan di Malaysia.
Terima Kasih
Jawapan
Firman Allah SWT dalam surah al Nisa' ayat 4 :
Maksudnya: Dan berikanlah kepada perempuan-perempuan itu mas kahwin-mas kahwin mereka sebagai pemberian yang wajib. Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.
Perkataan النحلة dalam ayat di atas membawa maksud mahar atau mas kahwin iaitu sesuatu yang wajib diberikan kepada isteri disebabkan akad nikah.
Berdasarkan peruntukan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003, di bawah Seksyen 21(1) ‘mas kahwin’ ertinya pembayaran kahwin yang wajib dibayar di bawah hukum syarak oleh suami kepada isteri pada masa perkahwinan diakadnikahkan dan hendaklah dibayar oleh pihak lelaki atau wakilnya kepada pihak perempuan atau wakilnya di hadapan orang yang mengakadnikahkan perkahwinan itu dan sekurang-kurangnya dua orang saksi lain.
Berdasarkan enakmen di atas, tidak dijelaskan secara khusus nilai, jenis mata wang atau barang berharga untuk dijadikan maskahwin. Pada dasarnya penetapan ini tertakluk kepada fatwa atau mana-mana peraturan yang telah diputuskan oleh pihak pemerintah atau ulil amri. Namun demikian masih belum ada fatwa atau peraturan yang tidak membenarkan mas kahwin dibayar dengan menggunakan mata wang selain Ringgit Malaysia.
Untuk itu, Jabatan ini berpandangan tidak menjadi kesalahan sekiranya pengantin lelaki membayar mas kahwin tersebut dengan mana-mana mata wang selain Ringgit Malaysia, setelah mendapat persetujuan secara bersama pihak wanita terlebih dahulu. Yang penting kadar yang dibayar itu mestilah sama atau lebih dari kadar mas kahwin yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa agama negeri-negeri di Malaysia.