BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Salam. Ustaz/Ustazah, saya ingin buat pertanyaan tentang puasa. Keturunan saya jenis memang ada kes hidung tersumbat and banyak kahak. jadi kadang semasa bercakap pun kahak boleh turun dari rongga hidung ke kerongkong. Disebabkan terlalu kerap kahak turun dari hidung ke tekak, saya selalunya tertelan sebab lagi senang daripada meludah setiap 5 minit. lagi2 kalau tengah memandu kereta atau bekerja. kahak tu, kadang2 akan masuk ke bahagian mulut. jadi, apa hukum saya telan kahak ini masuk semula ke kerongkong kerana kesukaran membuang kahak dengan kerap. kalau sudah tertelan, adakah puasa saya terbatal?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Hukum puasa bagi orang yang menelan kahak adalah berbeza bergantung kepada kedudukan kahak itu berada iaitu:

1. Had zahir

Had yang zahir bagi rongga mulut ialah mengikut kadar makhraj huruf (خ) dan (ح), manakala had batin bagi rongga ini berdasarkan makhraj huruf (ه) dan (ء). Maka, sekiranya lendir kahak tersebut berada pada had zahir atau pada kawasan mulut maka batal puasa seseorang itu jika ditelan kahak tersebut.

2. Had Batin

Sekiranya didapati lebihan kahak berada pada had batin iaitu yang selain daripada bahagian zahir pada rongga mulut,  maka tidak batal puasa orang yang menelan kahak tersebut.

Sekiranya kahak itu kerap turun dari hidung ke tekak atau kerongkong, dan tekak/ kerongkong adalah merupakan had batin sebagaimana yang dijelaskan di atas, maka tidaklah batal puasa jika tuan tertelan kahak tersebut. Adapun sekiranya kahak tersebut, masuk ke bahagian mulut yang merupakan had zahir, maka batal puasa jika tuan menelannya dengan sengaja.

Kesimpulannya, hukum puasa bagi orang yang menelan lebihan kahak adalah batal sekiranya kahak tersebut berada di bahagian zahir mulut atau pada ruangan mulut. Adapun jika kedudukan kahak tersebut berada bahagian dalam seperti di bahagian halkum, tekak atau kerongkong dan ke dalam maka tidak batal puasa sekiranya ditelan kahak tersebut kerana sukar untuk mengeluarkannya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 137

message user image