Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz.
Selamat Berpuasa di bulan Ramadan Al Mubarak.
Pertanyaan saya.
Saya menjaga ibu dan ibu mertua yg tinggal bersama saya dan uzur utk solat tarawih di masjid. Mereka minta saya imamkan solat terawih di rumah sahaja. Bagaimana tuntutan agama keatas saya untuk solat terawih berjemaah di masjid ?. Sama juga halnya utk solat fardu. mereka juga minta saya solat dirumah sahaja. Mohon pencerahan Ustaz mana yg lebih afdal untuk saya.
Terima kasih
Ramlan.
Jawapan
Solat fardhu secara berjamaah merupakan perkara sunat yang dituntut dalam Islam begitu juga dengan solat sunat Tarawih. Dalam situasi yang dinyatakan, afdhal tuan solat secara berjamaah di rumah bersama ibu dan ibu mertua. Ini kerana walaupun solat di rumah, tuan tetap mendapat pahala solat berjamaah bersama mereka, di samping dapat menjadi anak yang soleh mentaati dan menyantuni ibu ketika mereka sudah uzur dan memerlukan. Kemungkinan jika tuan ke masjid akan menyebabkan tuan melakukan perkara yang diharamkan iaitu melukakan hati ibu hanya untuk mendapatkan pahala sunat ke masjid.
Bagi solat fardu, apa yang tuan boleh lakukan adalah bersolat secara berjamaah di masjid atau surau berdekatan dan kemudian mengulang solat menjadi imam di rumah bersama ibu.