Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalammualaikum. Ada berapa jenis generasi yang telah dijelaskan dalam agama Islam? Orang barat ada kelaskan generasi dunia kepada beberapa jenis, contohnya Baby Boomers, Gen Y, Gen Z dan lain- lain. Dalam Islam ada tak dikelaskan generasi- generasi ini? Yang saya baca ada, tapi sehingga Tabi‘ al-Tabi‘in, sahaja. https://en.wikipedia.org/wiki/Salaf Mohon Penjelasan.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, pembahagian zaman sepertimana yang diperkenalkan oleh barat dengan istilah Gen-Y, Gen-X dan lain-lain lagi merupakan pengkelasan bagi memudahkan zaman itu dirujuk sesuai dengan pembangunan teknologi pada masa itu dan jangkaan yang akan berlaku pada tahun-tahun mendatang. Memandangkan perkara ini dipelopori oleh dunia barat maka umat Islam hanya meminjam istilah-istilah tersebut sesuai dengan konteks semasa kerana tiada istilah khusus yang kami temui dalam membuat sedikit kajian tentang perkara ini. Pengkelasan zaman ini tidak lebih hanya membenarkan lagi semua khabar-khabar yang telah diimani oleh umat Islam sejak sekian lama kerana umat Islam telah diingatkan oleh Rasulullah SAW tentang tanda-tanda akhir zaman, dan tanda-tanda tersebut telah memenuhi sebahagian besar kriterianya di zaman yang dijenamakan oleh dunia barat sebagai Gen-Y, Gen-X dan lain-lain lagi. Oleh itu, sewajibnya umat Islam mempersiapkan diri untuk menghadapi hari yang dinanti dan hari yang dijanjikan sebagaimana yang disebut di dalam rukum Iman kelima. Manakala pengkelasan yang saudara bawakan merupakan indikator tentang manusia terbaik dari segenap sudut bersumberkan hadith Nabi SAW, yang sewajarnya menjadi titik rujukan kepada umat Islam pada hari ini. Dari Imran bin Husain RA, bahwa dia mendengar SAW bersabda: خَيْرَ أُمَّتِـي قَرْنِي ثُمَّ الَّذِيْنَ يَلُونَهُمْ ثُمَّ الَّذِينَ يَلُونَهُمْ Maksudnya : “Sebaik-baik umatku adalah pada mereka yang hidup pada kurunku. Kemudian orang-orang yang setelah mereka (generasi berikutnya), dan kemudian orang-orang yang setelah mereka.” (Riwayat al-Bukhari) والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.