Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Beberapa tahun lepas saya ada buat perkara yang jahat atau mengaibkan kepada kakak ipar saya. Iaitu saya mengambil pakaian dalam dia dan membuat perkara yang tidak senonoh terhadapnya tanpa pengetahuan dia. Sekarang saya ingin bertaubat, dan sudah lama tidak melakukan perkara tersebut. Tetapi saya takut Allah akan menyoal saya di akhirat kelak tentang perkara tersebut. Bagaimana cara ingin saya minta maaf kepada kakak ipar saya? Tapi saya pernah terbaca, Allah dah tutup aib kita, tak perlu kita buka aib kita. Jadi adakah saya perlu jujur mengenai perkara tersebut atau pun bagaimana?
Terima kasih.
Jawapan
Taubat bagi kesalahan yang tidak melibatkan hak orang lain, cukup sekadar memohon ampun kepada Allah SWT, menyesali akan perbuatan yang telah dilakukan serta berazam untuk tidak mengulangi lagi kesalahan tersebut.
Walau bagaimanapun seandainya kesalahan tersebut melibatkan hak orang lain, maka hendaklah memohon kemaafan daripadanya. Sekiranya kesalahan tersebut berkaitan dengan harta orang lain, maka harta tersebut hendaklah dipulangkan kepada tuannya. Namun seandainya dengan memberitahu perkara sebenar menyebabkan keadaan atau hubungan persaudaraan menjadi buruk, maka memadai dengan meminta maaf tanpa memberitahu perkara yang sebenar. Teruslah beristigfar dan bertaubat kepada Allah. Berbuat baiklah kepada orang yang kita sakiti, pohonkan keampuan dan doakan kebaikan kepadanya.