BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamu’alaikum Tuan , saya perlukan penjelasan tentang haid dan istihadah.
 

Jika seorang perempuan itu sebelum datang haid dia didatangi istihadah, haid sebelum ini 15 hari 15 malam , mula keluar haid waktu zohor, dan hari ke 16 keluar darah istihadah, adakah hari ke 16 perlu mulakan solat pada waktu zohor atau subuh? Dan tempoh suci seseorang itu adalah 15 hari , jadi pada hari ke 13,14,15 tempoh suci itu wanita tersebut keluar darah istihadah, bagaimana pula perkiraan waktu mula haid pada hari pertama beliau? Adakah mula zohor hari pertama haid tu sudah tak boleh solat? Atau waktu subuh ?
 

Terima kasih kerana pertimbangkan soalan ini, kerana pening dengan masalah haid yang 15 hari 15 malam dan istihadah sebelum haid.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Berdasarkan kenyataan yang tuan diberikan, apa yang dapat difahami adalah tempoh darah haid berpanjangan dan telah melebihi 15 hari tempoh maksimum haid.

Bagi menjawab persoalan yang diberikan, ada 2 perkara asas yang perlu diketahui; Pertama, darah haid tidak akan melebihi 15 hari. Kedua, jika darah yang datang melebihi 15 hari, ini bererti darah haid telah bercampur dengan darah istihadhah. Semasa darah istihadhah keluar, wanita dikira berada dalam keadaan suci.

Terdapat (2) dua cara penyelesaian yang boleh dibuat:

1. Jika dapat dibezakan darah-darah yang datang itu seperti ada darah yang kuat (iaitu warna gelap, likat atau berbau -contoh seperti warna merah gelap) dan ada darah yang lemah (berwarna terang seperti warna merah muda), maka hendaklah menjadikan darah yang kuat itu sahaja sebagai darah haid. Manakala darah yang lemah dijadikan sebagai darah istihadhah. Tetapi penyelesaian ini perlukan rekod yang jelas bagi bentuk-bentuk darah yang keluar setiap hari. Jika keliru dan tidak jelas atau tidak tahu membezakan bentuk-bentuk darah yang keluar, maka penyelesaian cara yang kedua boleh dilakukan iaitu:

2. Cuba ingat semula haid terakhir yang normal sebelum berlakunya darah berterusan ini. Begitu juga cuba ingat semula jumlah hari suci terakhir.

Sebagai contoh, sebelum terjadinya gejala darah berterusan ini, tempoh haid adalah 8 hari, kemudian suci selama 20 hari, kemudian berlakulah gejala ini. Maka penyelesaiannya ialah apabila sahaja darah yang datang itu melepasi 15 hari maka hari ke 16 sepatutnya wanita itu perlu mandi dan solat. Kemudian jadikan haid hanya 8 hari sahaja dan suci ialah 20 hari. Ini bererti kitaran haid wanita itu ialah 28 hari. Justeru, dia hendaklah qada’ semula solat yang ditinggalkan sejak dari hari ke 9 hingga hari ke 15. Selepas berlalu 28 hari yang merupakan kitaran haid wanita itu, iaitu campur hari haid dan hari suci yang normal sebelum ini, maka hari ke 29 itu anggap haid baru pula selama 8 hari, kemudian mandi dan anggap suci selama dua puluh hari, dan begitulah yang dilakukan selagi gejala itu belum tamat. Jika gejala darah berterusan ini tamat suatu hari nanti, maka mulakan pengiraan haid seperti biasa sebelum terjadinya gejala ini.

Pada dua contoh yang diberikan, bererti setiap kali berlalu 28 hari maka anggaplah darah yang masih ada itu ialah haid baru.

Cara ke-2 ini lebih mudah dipraktikkan bagi mereka yang keliru dan sukar memahami perbezaan darah dan penyelesaiannya.

Bagi menjawab persoalan bila wanita itu perlu memulakan solat apabila bermulanya darah istihadhah, iaitu sebagai contoh pada hari yang ke 16. Lihat bila bermulanya keluar darah haid hari yang pertama. Sekiranya darah haid itu keluar pada pukul 10.00 pagi, 1 haribulan, maka pukul 10.00 pagi hari yang berikutnya, iaitu 2 haribulan adalah genap sehari tempoh haid. Ini bermakna, pada pukul 10.00 pagi, 16 haribulan adalah hari ke 15 tempoh haid dan bermulanya darah istihadhah.

والله أعلم بالصواب

 

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 816

message user image