BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum wbt..,

Saya ingin bertanya mengenai isu jika kita hendak membeli kereta dengan membuat pinjaman loan di bank adakah itu termasuk dalam kategori riba? Hal ini kerana sebagai rakyat yang bertaraf b40 memang tidak mampu untuk membeli kereta secara cash. Jadi adakah loan di bank konvensional dan bank islamik sama sahaja? Dua dua akan menjuruskan ke arah riba? Dan macam mana konsep riba dalam urusan jual beli kereta/ rumah? 
Saya dalam dilema dan buntu..harap pihak mufti ada jawapan untuk ini. 
Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan,

riba merupakan larangan dari Allah SWT secara umum kepada semua orang Islam, tidak khusus untuk golongan-golongan tertentu baik orang miskin mahupun yang kaya, firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 275:

وَأَحَلَّ اللَّـهُ الْبَيْعَ وَحَرَّمَ الرِّبَا

Maksudnya: Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.

Menjawab soalan yang diajukan:

1. Sama ada pinjaman itu mempunyai riba atau tidak bergantung kepada akad yang digunakan serta syarat yang dikenakan..

2. Terdapat perbezaan yang jelas antara perbankan konvensional yang berasaskan kontrak pinjaman yang melibatkan riba dan juga perbankan Islam yang berasaskan kontrak jual beli yang melibatkan keuntungan. Walaupun kelihatan sama namun terdapat perbezaan antara kedua-dua kontrak yang ditandatangani sehingga ia boleh memberi kesan halal dan haram.

Sebagai ilustrasi mudah:

Kontrak konvensional menggunakan akad pinjaman yang mewajibkan bayaran pulangan melebihi jumlah pinjaman. Apa-apa bayaran tambahan atau manfaat yang dijanjikan atau disyaratkan, maka ia adalah riba. Sebagaimana kaedah Fiqah di dalam muamalat:

كُلُّ قَرْضٍ جَرَّ مَنْفَعَةً، فَهُوَ رِبًا

Maksudnya: Setiap pinjaman/ hutang yang mendatangkan manfaat/ keuntungan adalah riba.

Contoh: Pihak bank memberi pinjaman kepada pelanggan RM100 ribu untuk harga sebuah kereta. Pihak bank mensyaratkan bahawa pelanggan perlu memulangkan sebanyak RM120 ribu kepada pihak bank. Lebihan RM20 ribu itu adalah riba.

Bagi perbankan Islam mereka menawarkan pembiayaan secara jual beli. Iaitu pihak bank akan membeli kereta tersebut dengan harga RM100 ribu dan menjualnya kepada pelanggan dengan harga RM120 ribu. Lebihan RM20 ribu itu adalah keuntungan daripada jual beli tersebut yang diharuskan di dalam Islam. Sebagaimana firman Allah SWT di dalam surah al-Nisa' ayat 29:

يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُمْ بَيْنَكُمْ بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَنْ تَكُونَ تِجَارَةً عَنْ تَرَاضٍ مِنْكُمْ

Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan (jual beli) yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.

3. Adapun membayar semula pembiayaan melalui perbankan Islam secara ansuran atau bulanan, itu tidak menjadikan pembiayaan tersebut menjadi riba.  

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.       


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 763

message user image