BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : JENAYAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, Saya ingin bertanya kepastian dan kesahihan berkenaan hukum memakan harta anak yatim..hukum memakan harta anak yatim ya adalah satu daripada 7 perkara dosa besar, jika pelaku memakan harta anak yatim adakah pelaku dan selama 7 keturunan akan dihukum ditimpa nasib tidak baik(contoh, hidup tak tenang. bergaduh,rezeki tak masuk)?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Memakan harta anak yatim merupakan suatu dosa besar sebagaimana yang dinyatakan di dalam hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

«اجْتَنِبُوا السَّبْعَ المُوبِقَاتِ»، قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ وَمَا هُنَّ؟ قَالَ: «الشِّرْكُ بِاللَّهِ، وَالسِّحْرُ، وَقَتْلُ النَّفْسِ الَّتِي حَرَّمَ اللَّهُ إِلَّا بِالحَقِّ، وَأَكْلُ الرِّبَا، وَأَكْلُ مَالِ اليَتِيمِ، وَالتَّوَلِّي يَوْمَ الزَّحْفِ، وَقَذْفُ المُحْصَنَاتِ المُؤْمِنَاتِ الغَافِلاَتِ»

Maksudnya: Jauhilah tujuh perkara yang membinasakan. Para sahabat bertanya: Wahai Rasulullah, apakah itu? Baginda bersabda: Syirik kepada Allah, sihir, membunuh jiwa yang diharamkan oleh Allah kecuali dengan haq, makan riba, makan harta anak yatim, lari dari medan peperangan dan menuduh wanita mukminah yang suci berbuat zina. (RIwayat al-Bukhari).

Perkara ini ditegaskan di dalam al-Quran sepertimana firman Allah SWT dalam surah al-Nisa ayat 10:

إِنَّ الَّذِينَ يَأْكُلُونَ أَمْوَالَ الْيَتَامَى ظُلْمًا إِنَّمَا يَأْكُلُونَ فِي بُطُونِهِمْ نَارًا وَسَيَصْلَوْنَ سَعِيرًا

Maksudnya: Sesungguhnya orang-orang yang memakan harta anak-anak yatim secara zalim, sebenarnya mereka itu hanyalah menelan api ke dalam perut mereka; dan mereka pula akan masuk ke dalam api neraka yang menyala-nyala.

Berdasarkan hadis dan ayat di atas, memakan harta anak yatim tanpa sebab yang munasabah seolah-olah menjurus kepada memakan api yang menyala-nyala di akhirat kelak. Ayat ini jelas bahawa Allah memberi azab yang dahsyat bagi mereka yang mengambil hak anak yatim tanpa sebab. 

Walau bagaimanapun, dosa besar yang dilakukan oleh orang yang memakan harta anak yatim tiada kaitan dengan 7 keturunan seterusnya. Hal ini kerana dosa seseorang tidak diwarisi oleh orang lain. Namun, sekiranya mereka yang mengambil harta anak yatim dan menggunakannya untuk menyediakan keperluan anak-anak dan keturunannya dikhuatiri akan memberi kesan yang tidak baik serta hilang keberkatan kepada zuriatnya berikutan menggunakan sumber yang salah. 

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 933

message user image