Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang penggunaan pelembab bibir semasa ramadan. Saya tinggal di UK di mana cuacanya lebih kering daripada Malaysia. Setiap hari saya akan memakai pelembab bibir(lip balm) untuk memastikan bibir tidak pecah dan berdarah. Pada bulan Ramadan ini saya tetap menggunakannya atas tujuan yang sama. Persoalan saya adalah
1) Adakah batal puasa saya sekiranya saya tertelan sedikit lip balm tersebut? Lip balm tersebut tidak mempunyai rasa, jadi saya susah pastikan bahawa saya ada tertelan atau tidak.
2) Ada suatu hari tekak saya berasa pahit. Saya mengesyaki mungkin puncanya adalah daripada tertelan lip balm. Tetapi keesokan harinya saya demam, jadi rasa di tekak itu juga mungkin datang daripada demam. Adakah perlu saya menggantikan puasa saya disebabkan ini? Saya tidak mahu bermudah dalam agama.
3) Sekiranya tidak memakai lip balm dan bibir pecah sedikit. Adakah batal puasa saya sekiranya saya tertelan darah di bibir tersebut?
Terima kasih. Semoga Allah merahmati tuan.
Jawapan
Berdasarkan persoalan pertama yang diajukan, hukum menggunakan pelembab bibir semasa Ramadhan adalah tidak membatalkan puasa selagi mana ia sekadar 'rasa' di bibir dan tidak ditelan masuk ke dalam rongga.
Ini berdasarkan fatwa Ibn ‘Abbas RA mengenai merasa makanan yang mana beliau menyebut:
Maksudnya: Tidak mengapa untuk merasa cuka atau yang lainnya, selagi tidak memasuki tekaknya dan dia sedang berpuasa.
Merujuk kepada soalan kedua, berdasarkan situasi yang dijelaskan didapati bahawa kemungkinan rasa pahit tersebut disebabkan tahap kesihatan yang kurang baik dan bukan disebabkan tertelan pelembab bibir tersebut. Maka, tidak perlu menggantikan puasa. Namun harus untuk menggantikan puasa tersebut.
Manakala, bagi soalan ketiga, ulama sepakat menyatakan sekiranya seseorang itu diuji dengan masalah bibir kering dan berdarah, maka dimaafkan baginya jika tertelan darah di bibir tersebut semasa berpuasa. Walau bagaimanapun, dinasihatkan untuk berusaha mengelap darah tersebut dengan kain agar dapat mengelak daripada tertelan.