Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Assalam ustaz. Saya ingin bertanya: Saya telah mencuci lantai rumah yang baru siap dibina. Sewaktu saya memberus lantai di ruang tamu, ada sehelai bulu yang bercabang 3 telah tersangkut di berus lantai. Saya ambil bulu tersebut dan membuangnya, saya terus mencuci lantai setiap bilik, dapur, ruang keluarga dan beranda serta tangga dengan berus lantai tersebut. Selepas 5 hari, ternyata bulu yang bercabang tiga tadi datangnya dari berus cat yang diperbuat dari bulu babi yang telah digunakan oleh tukang cat tanpa disedari olehnya. Soalannya, perlukah saya menyertu lantai sebuah rumah tersebut beserta alatan cucian yang digunakan? Mohon pandangan ustaz.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, Islam tidak memaksa melakukan sesuatu yang di luar kemampuannya. Walau bagaimana ia tidak bererti mempermudah-mudahkan. Anda tidak perlu sertu, kerana perbuatan menyertu tidak memberi kesan apa-apa (cat bersifat kalis air). Ia juga tidak menyebabkan air itu bernajis. Ini lebih kepada perasaan was-was yang perlu dirawat/dihindari daripada terus berlaku yang boleh menjadi bertambah serius (menjadi penyakit). Justeru disyorkan untuk menghilangkan was-was anda, cat semula dan pastikan tidak menggunakan berus daripada bulu babi. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.