BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Apakah hukumnya memohon cerai jika suami tidak solat,tidak puasa dan bercakap kasar dengan keluarga? Adakah saya masih memohon cerai atas alasan ini?

Terima kasih

Ayu


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

 

Pada asalnya tidak boleh bagi seorang isteri meminta cerai daripada suaminya tanpa sebab yang dibenarkan oleh syarak, ia berdasarkan hadis daripada Thauban RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ سَأَلَتْ زَوْجَهَا طَلَاقًا مِنْ غَيْرِ بَأْسٍ فَحَرَامٌ عَلَيْهَا رَائِحَةُ الجَنَّةِ

Maksudnya: Mana-mana isteri yang meminta cerai daripada suaminya tanpa alasan maka haram baginya bau syurga. (Riwayat al-Tirmidzi).

Hadis di atas menjadi dalil bahawa seorang wanita dilarang untuk meminta cerai atau melakukan ugutan cerai kecuali jika ada alasan yang dibenarkan.

Berdasarkan Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Negeri Selangor tahun 2003 (EUUKIS 2003) di bawah Seksyen 53 (EUUKIS 2003) : Perintah untuk membubarkan perkahwinan atau untuk fasakh, dan di antara alasan-alasan yang dibenarkan syarak untuk tuntutan fasakh ini adalah :

(a) bahawa tempat di mana beradanya suami telah tidak diketahui selama tempoh lebih daripada satu tahun;
(b) bahawa suami telah cuai atau telah tidak mengadakan peruntukan bagi nafkahnya selama tempoh tiga bulan;
(c) bahawa suami atau isteri telah dihukum penjara selama tempoh tiga tahun atau lebih;
(d) bahawa suami atau isteri telah tidak menunaikan, tanpa sebab yang munasabah, kewajipan perkahwinannya (nafkah batin) selama tempoh satu tahun;
(e) bahawa suami telah mati pucuk pada masa perkahwinan dan masih lagi sedemikian dan isteri tidak tahu pada masa perkahwinan bahawa suami telah mati pucuk;
(f) bahawa suami atau isteri telah gila selama tempoh dua tahun atau sedang mengidap penyakit kusta atau vitiligo atau sedang mengidap penyakit kelamin dalam keadaan boleh berjangkit;
(g) bahawa isteri, setelah dikahwinkan oleh wali Mujbirnya sebelum ia mencapai umur baligh, menolak perkahwinan itu sebelum mencapai umur lapan belas tahun, dan ia belum disetubuhi oleh suaminya itu;
(h) bahawa suami atau isteri menganiayai isteri atau suaminya iaitu, antara lain—

         (i) lazim menyakiti atau menjadikan kehidupannya menderita disebabkan oleh kelakuan aniaya;
         (ii) berkawan dengan perempuan-perempuan atau lelaki jahat atau hidup berperangai keji mengikut pandangan Hukum Syarak;
         (iii) cuba memaksa isteri hidup secara lucah;
         (iv) melupuskan harta isteri atau suami atau melarang isteri atau suami itu dari menggunakan hak-haknya di sisi undang-undang terhadap harta                 itu;
         (v) menghalang isteri atau suami dari menunai atau menjalankan kewajipan atau amalan agamanya;
         (vi) jika suami mempunyai isteri lebih daripada seorang, dia tidak melayani isteri yang berkenaan secara adil mengikut kehendak-kehendak                         Hukum Syarak;
(i) bahawa walau pun empat bulan berlalu tetapi isteri masih belum disetubuhi oleh kerana suami bersengaja enggan menyetubuhinya;
(l) apa-apa alasan lain yang diiktiraf sebagai sah bagi membubarkan perkahwinan atau bagi fasakh di bawah Hukum Syarak.

Walaupun demikian, ada baiknya puan dan suami berusaha terlebih dahulu untuk mencari jalan penyelesaian terhadap permasalahan yang puan dan suami hadapi dengan mencari ikhtiar yang lain sebelum membuat tuntutan cerai, seperti menjalani sesi khidmat nasihat di mana-mana pejabat Agama Islam yang berdekatan atau mana-mana pendekatan lain yang sesuai. 

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 146

message user image