Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum. Apakah hukum isteri meninggalkan solat fardhu kerana mentaati arahan suami supaya menemaninya berbual. Adakah dosa isteri tersebut meninggalkan solat akan ditanggung oleh suami sedangkan isteri mahu bersolat. Adakah mentaati arahan suami lebih penting dari mengerjakan solat yang wajib.
Jawapan
Solat adalah suatu ibadah yang wajib ditunaikan pada waktunya. Kerana itulah di dalam niat solat adanya perkataan al-adaa’ (tunai) dan apabila di laksanakan luar daripada waktu ia akan disebut al-qadha (ganti).
Allah juga telah memberi peringatan yang tegas kerana adanya perkataan ‘Celakalah kamu’ kepada golongan yang sengaja melewat-lewatkan solat sehingga terlepas waktu. Firman Allah SWT di dalam surah al-Maa’un ayat 4 & 5:
Bermaksud: Maka celakalah bagi orang-orang yang solat, (iaitu) orang-orang yang lalai solatnya.
Kerana itulah di dalam ayat disebut bagi orang yang solat kerana mereka itu pada asalnya melakukan solat dan mengikut peraturan-peraturannya, kemudian mereka lalai dalam mengerjakan solat atau meninggalkannya secara keseluruhan.
Kata Ibn Abbas: Mereka ini mengerjakannya akan tetapi bukan pada waktu yang telah ditetapkan (lambat), ataupun mereka mengerjakan akan tetapi telah keluar dari waktunya (qadha’ dalam keadaan yang bukan uzur). Pengarang kitab Al-Fiqh Al-Manhaji pula menjelaskan bahawa orang yang meninggalkan solat dengan sebab yang dimaafkan seperti terlupa atau tertidur tidak berdosa atau tidak wajib segera mengqada'kannya, manakala bagi orang yang sengaja meninggalkan solat adalah berdosa dan wajib mengqada'kannya pada kesempatan yang ada. Firman Allah SWT dalam Surah al-Nisa' ayat 103:
Bermaksud: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan ke atas orang-orang yang beriman, yang telah ditentukan waktunya.
Memang tidak dinafikan, seorang Isteri wajib mentaati suami selagi mana tidak bertentangan dengan syarak. Meninggalkan solat fardhu adalah suatu maksiat dan berdosa besar, maka tidak wajib malah haram mentaati suami dalam isu ini. Hak Allah SWT adalah lebih utama didahulukan berbanding hak manusia. Oleh itu, puan dinasihatkan agar menerangkan perkara tersebut kepada suami dengan sebaiknya.
Ini kerana mereka yang meninggalkan solat atas sebab malas atau melengah-lengahkannya boleh menyebabkan dosa besar. Orang yang meninggalkan kerana mengingkari hukum wajibnya atau sengaja mempersendakannya akan menjadi kafir dan terkeluar daripada agama Islam. Apapun alasannya, diri kita berhak untuk mendapat kehidupan yang baik di akhirat sana. Jadi berdoalah agar kita kuat dan ditetapkan hati dalam melaksanakan semua ibadah yang menjadi kefardhuan.Tambahan pula ia adalah hak Allah yang mana kita seperti berhutang.