Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum w. b. t, tuan/puan saya ingin bertanya tentang hukum berkawan dengan lelaki yang bertujuan untuk dijadikan pengganti setelah bercerai namun masih dalam tempoh iddah. Terima kasih.
Jawapan
Seorang perempuan yang berada dalam tempoh iddah talak raj'i selepas bercerai dengan suaminya pada hakikatnya dia masih lagi isteri orang. Ini adalah kerana suami berhak untuk melakukan rujuk dalam tempoh tersebut dan ianya adalah sah walaupun tanpa persetujuan isteri. Ini sebagaimana yang difahami melalui firman Allah SWT dalam surah al Baqarah ayat 228 :
Maksudnya: Dan segala suami mereka (isteri-isteri yang diceraikan) lebih berhak dengan mengembalikan mereka kepada nikah pada masa iddah itu jika mereka hendak berbaik.
Tambahan pula, seandainya salah seorang daripada mereka meninggal dunia di dalam tempoh itu, mereka masih mewarisi di antara satu sama lain. Oleh kerana itu haram bagi perempuan itu berkenalan dengan lelaki lain atau berjanji hendak bernikah dengan lelaki lain kerana dia masih berstatus sebagai isteri orang di dalam tempoh iddah talak raj'i. Begitu juga haram bagi mana-mana lelaki yang menyatakan hasrat untuk memperisterikannya, meminangnya, berjumpa dengan perempuan itu atau berhubung dengannya tanpa izin suaminya.