BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum,

Soalan saya ialah, 5 tahun yg lepas saya telah menjalani pembedahan di salur makanan dah perut disebabkan masalah gert yang teruk. Sejak dari itu, bila saya berpuasa di siang hari, pada malamnya bermula dari pukul 11 malam sehingga pagi kedua2 kaki dari jari kaki ke betis hingga ke peha akan cramp yang teruk, satu malam akan berlaku 4/5 kali. Pada siang hari nya pulak otot2 kaki akan sakit sepanjang hari.

Saya sudah berusaha macam2, minum air, ambik calsium, magnesium, vit D3, pil electrolytes, himalayan salt, protein shake, berurut, tapi masih juge cramp terutama pada malam hari dan ini berterusan sepanjang ramadan. 

Cramp kaki & kesakitan otot kaki sepanjang malam menyebabkan kesakitan yang amat sangat sehingga saya menangis, stress & darah naik tinggi.

Soalan saya, Bolehkah saya dikecualikan dari berpuasa dah hanya peru membayar fidyah? 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Puasa adalah satu kewajipan yang ditetapkan oleh semua umat Islam yang mukallaf. Namun begitu terdapat beberapa keadaan yang membolehkan seseorang tidak berpuasa seperti mengalami sakit yang kronik.

Merujuk kepada persoalan puan, puan hendaklah mendapatkan nasihat doktor untuk mengesahkan tahap kesihatan puan sama ada boleh berpuasa atau tidak. Penyakit gastroesophageal refluks (GERD) atau lebih mudah dikenali sebagai asid refluks, berlaku apabila asid dalam perut mengalir kembali ke saluran esofagus – tiub yang menghubungkan mulut dan perut. Masalah asid refluks ini boleh mengakibatkan kerengsaan pada lapisan esofagus dan simptom lain seperti pedih ulu hati, selalu muntah, kembung perut, batuk yang kronik, sukar bernafas dan sebagainya yang boleh memudaratkan kesihatan.

Sekiranya seseorang yang tidak mampu berpuasa kerana mempunyai penyakit kronik yang menyebabkan mudarat dan tiada harapan sembuh dan mudarat jika berpuasa adalah harus meninggalkan puasa, tidak perlu qada puasa dan wajib membayar fidyah sahaja. Perkara ini seperti yang dikatakan oleh Ashab Shafi’iyyah bagi golongan orang tua yang menghadapi keletihan yang teruk jika berpuasa atau orang yang ada penyakit kronik yang tiada harapan sembuh.

Firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 184:

أَيَّامًا مَعْدُودَاتٍ فَمَنْ كَانَ مِنْكُمْ مَرِيضًا أَوْ عَلَى سَفَرٍ فَعِدَّةٌ مِنْ أَيَّامٍ أُخَرَ وَعَلَى الَّذِينَ يُطِيقُونَهُ فِدْيَةٌ طَعَامُ مِسْكِينٍ

Maksudnya: (Puasa yang diwajibkan itu ialah beberapa hari yang tertentu; maka sesiapa di antara kamu yang sakit, atau dalam musafir, (bolehlah ia berbuka), kemudian wajiblah ia berpuasa sebanyak (hari yang dibuka) itu pada hari-hari yang lain; dan wajib atas orang-orang yang tidak terdaya berpuasa (kerana tua dan sebagainya) membayar fidyah iaitu memberi makan orang miskin.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 133

message user image