BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum ustaz,

Saya ada kemusykilan dan dimohon penjelasan…baru-baru ini ada seorang lelaki yang menangkap saya mempunyai hubungan sulit dengan isterinya. Saya ada bersumpah dengan nama Allah dan mengatakan saya tidak berbuat apa-apa kepada isterinya walaupun sebenarnya saya berbohong. Saya ada memegang tangan isterinya tetapi tidak sampai ke tahap terlanjur. Saya tidak berani mengaku kesalahan saya ketika itu kerana lelaki tersebut ada memegang senjata tumpul dan jika saya mengaku salah sudah pasti beliau akan mencederakan saya dan mungkin isterinya sendiri. Beliau memang seorang yang panas baran. Jadi, apakah hukum perlakuan sumpah saya itu dan apakah yang perlu saya lakukan jika saya ingin bertaubat? Adakah saya perlu membayar kafarah sumpah juga?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Adalah berdosa besar bagi seorang lelaki mengadakan hubungan sulit dengan isteri orang apatah lagi hingga berpegangan tangan walaupun belum terlanjur. Ia juga dikira telah melakukan dosa terhadap suami kepada isteri tersebut kerana telah mencerobohi haknya. Perkara ini perlu dihentikan dan wajib bertaubat kepada Allah SWT.

Walaupun terpaksa bersumpah untuk mengelakkan diri daripada mendapat musibah jika bercakap benar, ia tetap dianggap sebagai berbohong dengan bersumpah menggunakan nama Allah SWT. Oleh itu, wajib ke atas tuan kaffarah sebagaimana umum ayat al-Quran dalam surah al-Maidah ayat 89:

لَا يُؤَاخِذُكُمُ اللَّهُ بِاللَّغْوِ فِي أَيْمَانِكُمْ وَلَكِنْ يُؤَاخِذُكُمْ بِمَا عَقَّدْتُمُ الْأَيْمَانَ فَكَفَّارَتُهُ إِطْعَامُ عَشَرَةِ مَسَاكِينَ مِنْ أَوْسَطِ مَا تُطْعِمُونَ أَهْلِيكُمْ أَوْ كِسْوَتُهُمْ أَوْ تَحْرِيرُ رَقَبَةٍ فَمَنْ لَمْ يَجِدْ فَصِيَامُ ثَلَاثَةِ أَيَّامٍ ذَلِكَ كَفَّارَةُ أَيْمَانِكُمْ إِذَا حَلَفْتُمْ

Maksudnya: Kamu tidak dikira salah oleh Allah tentang sumpah-sumpah kamu yang tidak disengajakan (untuk bersumpah), akan tetapi kamu dikira salah oleh-Nya dengan sebab sumpah yang sengaja kamu buat dengan bersungguh-sungguh. Maka bayaran dendanya ialah memberi makan sepuluh orang miskin dari jenis makanan yang sederhana yang kamu (biasa) berikan kepada keluarga kamu, atau memberi pakaian untuk mereka, atau memerdekakan seorang hamba. Kemudian sesiapa yang tidak dapat (menunaikan denda yang tersebut), maka hendaklah ia berpuasa tiga hari. Yang demikian itu ialah denda penebus sumpah kamu apabila kamu bersumpah.

Kaffarah sumpah yang perlu ditunaikan adalah dengan melakukan salah satu daripada tiga perkara tersebut: 

1) Memberi makan kepada 10 orang miskin.

2) Memberi pakaian kepada 10 orang miskin.

3) Memerdekakan seorang hamba sahaya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 154

message user image