BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUNAKAHAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, 

Ahmad menyatakan bahawasanya ibunya akan mengalami gangguan emosi dan stress kerana tinggal bersendirian selepas kematian ayahnya. adakah dibolehkan untuk ahmad mengambil ibunya untuk tinggal bersamanya sedangkan ibunya masih dalam iddah kematian ayahnya? dan apakah garis panduan yang perlu dipatuhi oleh ibunya ketika dalam iddah di rumah anaknya? jika dibenarkan untuk tinggal bersama dengan ahmad, ada tak garis panduan atau parameter setakat mana gangguan emosi yang diperakui dalam syarak sehingga dibenarkan untuk keluar rumah. adakah perlu pengesahan daripada doktor atau cukup sekadar pemerhatian orang di sekelilingnya (anak/ jiran/ dll). Terima kasih. 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته  

الحمد لله رب العلمين والصلاه والسلام على أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد

Tempoh iddah wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234:

وَٱلَّذِینَ یُتَوَفَّوۡنَ مِنكُمۡ وَیَذَرُونَ أَزۡوَ ٰ⁠جࣰا یَتَرَبَّصۡنَ بِأَنفُسِهِنَّ أَرۡبَعَةَ أَشۡهُرࣲ وَعَشۡرࣰاۖ

Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama 4 bulan 10 hari.

Merujuk kepada persoalan puan, Ahmad boleh membawa ibunya untuk tinggal bersamanya dalam tempoh iddah berikutan masalah kesihatan ibunya yang memerlukan kepada penjagaan dan perhatian orang lain serta tiada orang lain atau ahli keluarga lain yang boleh menemani ibunya di rumah. Adalah sebaiknya Ahmad membawa ibunya untuk mendapatkan rawatan dan nasihat doktor supaya kesihatan ibunya terjamin.

Berbalik semula kepada syarat yang perlu dipatuhi semasa tempoh iddah, wanita yang kematian suami tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja.  Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tiada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam.  Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam.  Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.

Justeru, Ahmad hendaklah mengambil perhatian berkenaan syarat semasa iddah ibunya supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan apa yang ditetapkan kepada wanita yang dalam tempoh iddah kematian suami.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 124

message user image