Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Saya telah bertelingkah dengan suami saya dan suami saya melafazkan 'saya bukan suami awak'. Adakah jatuh hukum talak dengan lafaz tersebut?
Jawapan
Ucapan suami kepada isteri: "saya bukan suami awak" adalah merupakan ucapan kinayah (lafaz yang tidak sorih), perkataan tersebut boleh membawa pelbagai maksud yang lain selain talak, mungkin boleh membawa maksud bukan suami yang baik atau bukan suami yang adil dan sebagainya. Oleh yang demikian berlaku talak atau tidak adalah bergantung kepada niat suami. Seandainya suami berniat talak, maka jatuhlah talak. Seandainya suami tidak berniat talak, maka talak tidak berlaku.
Walau bagaimanapun, adalah disyorkan agar puan merujuk kepada Mahkamah Syariah yang berhampiran bagi melaporkan dan membuat pengesahan terhadap perkara tersebut dalam kadar yang segera sebagaimana yang dijelaskan di dalam Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam Selangor (EUUKIS) 2003 di bawah Seksyen 57, memandangkan urusan pengesahan perceraian adalah merupakan bidang kuasa Mahkamah Syariah.