Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Pakcik saya berhutang dengan ibu saya sebanyak rm15,000 kerana dia ingin membeli rumah ibu saya ketika itu atas dasar kasih sayang ingin membantu pakcik yang tiada rumah (tiada agreement, hanya cakap mulut di hadapan arwah tok saya).
Setelah beberapa tahun meminta, kami tetap tak dapat wang tersebut. Malah, pakcik saya siap renovate rumah tersebut guna KWSP. Sekarang ibu sudah tua, dan market value rumah tersebut sudah memcecah lebih rm300,000. Bolehkah kami jual rumah tersebut? Kerana nak guna wang tersebut utk ibu saya naik haji dan belanja hari tua beliau? Kami dah tak boleh beri masa lagi pada pakcik kerana dah berpuluh tahun beri muka.
Harap ustaz dapat balas pertanyaan saya (melalui email/call/video youtube), sebab saya tak mahu hubungan sesama keluarga kami rosak dan ibu berkecil hati sampai hayatnya jika masalah ini tak selesai.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya hutang merupakan perkara yang wajib dibayar dan ia merupakan kewajipan sesama manusia. Berdasarkan hadis daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.(Riwayat al-Tirmizi).
Terdapat riwayat lain, Rasulullah SAW enggan mensolatkan jenazah seorang sahabat yang berhutang sehingga ada sahabat lain yang memberi jaminan untuk melunaskan hutang jenazah tersebut.Daripada Salamah bin Akwa' RA, katanya:
Pada suatu ketika, kami duduk dekat Nabi SAW. Tiba-tiba datang orang membawa jenazah. Kata mereka, "Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya beliau, "Adakah dia mempunyai hutang?" Jawab mereka, "Tidak!" Tanya Nabi, "Adakah dia meninggalkan warisan?" Jawab mereka,"Tidak!" Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian datang pula orang membawa jenazah yang lain. Kata mereka, "Ya, Rasulullah! Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya Nabi, "Adakah dia mempunyai hutang?" Dijawab oleh mereka, "Ya, ada!" Tanya beliau, "Adakah dia meninggalkan sesuatu warisan"?" Jawab mereka, "Ada, tiga dinar!" Lalu beliau solatkan jenazah itu. Kemudian dibawa orang pula kepada beliau jenazah yang ketiga. Kata mereka, "Sudilah anda solatkan jenazah ini." Tanya Nabi, "Adakah ia meninggalkan sesuatu (warisan)?" Jawab mereka, "Tidak!" Tanya Nabi saw., "Adakah dia mempunyai hutang?" Jawab mereka, "Ada, tiga dinar!" Sabda Nabi saw., "Solatkanlah teman mu itu!" Kata Abu Qatadah, "Solatkanlah, ya, Rasulullah! Biarlah saya yang menanggung hutangnya. Maka Rasulullah solat untuk jenazah itu.(Riwayat al-Bukhari)
Selain itu, riwayat daripada Anas bin Malik RA berkata:
Kami pernah bersama Rasulullah SAW, lalu baginda mendatangi seseorang yang sedang disolatkan. Baginda pun bertanya, "Apakah sahabat kalian ada memiliki hutang?" Mereka menjawab, "Ya." Lalu baginda bersabda: "Lalu apa manfaatnya bagi kalian jika aku mensolatkan orang yang rohnya pun tidak naik ke langit? Jika ada orang yang menjamin hutangnya, aku akan mengerjakan solat untuknya kerana sesungguhnya solatku akan bermanfaat baginya.(Riwayat al-Tabarani)
Allah SWT juga memberi amaran akan membinasakan seseorang yang berhutang dengan niat tidak mahu membayar. Daripada Abu Hurairah RA, sabda Nabi SAW
«مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسِ يُرِيدُ أَدَاءَهَا أَدَّى اللَّهُ عَنْهُ، وَمَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلاَفَهَا أَتْلَفَهُ اللَّهُ»
Maksudnya: Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya.(Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW juga menjelaskan bahawa seseorang yang mampu membayar hutang tapi sengaja melewatkannya adalah zalim. Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda:
مَطْلُ الغَنِيِّ ظُلْمٌ
Maksudnya: Menangguh pembayaran (hutang) bagi orang yang mampu adalah kezaliman.(Riwayat al-Bukhari).
Oleh itu, dalam hal ini pemiutang atau orang yang memberi hutang berhak untuk menuntut hutang yang merupakan haknya. Namun begitu, Rasulullah SAW menganjurkan kita untuk menuntut hutang dengan ihsan. Daripada Jabir RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
رَحِمَ اللهُ عَبْدًا سَمْحًا إِذَا بَاعَ، سَمْحًا إِذَا اشْتَرَى، سَمْحًا إِذَا قَضَى
Maksudnya: Semoga Allah merahmati seseorang yang memudahkan ketika menjual, ketika membeli dan ketika meminta haknya.(Riwayat Bukhari)
Seseorang pemiutang hanya boleh menuntut jumlah yang dipinjamkan sahaja. Sekiranya pemberi hutang menetapkan syarat atau meminta lebih bayaran daripada orang yang meminjam tersebut maka perbuatan ini merupakan riba al-fadhl yang amat ditegah di dalam Islam:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا اتَّقُوا اللَّهَ وَذَرُوا مَا بَقِيَ مِنَ الرِّبَا إِن كُنتُم مُّؤْمِنِينَ
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Bertaqwalah kamu kepada Allah dan tinggalkanlah (jangan menuntut lagi) saki baki riba (yang masih ada pada orang yang berhutang) itu, jika benar kamu orang- orang yang beriman.
Selain itu, perlu diambil perhatian jika sesuatu itu menjadi hak dan milik orang lain, maka tidak boleh sewenang-wenangnya dijual tanpa pemilikan, penguasaan atau diwakilkan oleh pemiliknya. Hal ini kerana kaedah fiqah menyebutkan bahawa:
لَا يَجُوزُ لأحَدٍ أَن يَتَصَرَّفَ فِي مِلْكِ غَيْرِهِ بِلَا إِذْنِهِ
Maksudnya: Tidak boleh untuk seseorang melakukan jual beli ke atas barang milik orang lain tanpa izin tuannya.
Maka, dalam menyelesaikan permasalahan hutang ni pihak keluarga hendaklah berbincang sebaik-baiknya dan mengambil pendekatan yang harmoni supaya hubungan kekeluargaan tetap terpelihara. Jika masih tidak dapat menyelesaikannya dengan cara berbincang, pihak penuntut hutang boleh menuntutnya dengan jalan perundangan.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب