Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Salam.
Saya nak bertanya hukum tentang penggunaan duit yg Haram untuk dibuat modal perniagaan yg halal adakah duit Dari hasil perniagaan yg halal tersebut turut menjadi Haram
Contoh saya ada bermain forex
Kemudia hasil duit tersebut saya menjalankan perniagaan kedai emas. Adakah hasil saya berniaga emas ini turut haram.t.kasih
Jawapan
Hukum penggunaan duit yang diyakini haram adalah haram digunakan untuk membuat modal perniagaan lain. Sebaiknya hendaklah menggunakan sumber yang diyakini halal agar perniagaan seterusnya mendapat keberkatan dan tidak merasa ragu untuk menggunakannya. Perniagaan emas yang dilakukan kemudian adalah merupakan perniagaan yang baik, sewajarnya menggunakan sumber yang halal sebagai modal perniagaan.
Sebagai contoh tuan bermain forex, hasil yang diperolehi daripada bermain forex telah ditetapkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-98 yang bersidang pada 13-15 Februari 2012, memutuskan bahawa perdagangan pertukaran mata wang asing (forex) oleh individu secara lani (individual spot forex) melalui platfom elektronik yang ada pada masa ini adalah haram kerana ia bercanggah dengan kehendak syarak dan juga tidak sah dari sisi undang-undang negara. Selaras dengan itu, umat Islam adalah dilarang daripada melibatkan diri dalam perdagangan mata wang seumpama ini. Oleh itu ia termasuk harta yang tidak patuh syariah yang tidak boleh digunakan untuk menjalankan perniagaan lain. Untuk melakukan perkara yang baik mesti dimulakan dengan perkara kebaikan juga agar memperoleh keberkatan rezeki.