Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya berada dalam situasi dimana saya telah ditipu dari segi wang (sejumlah yg banyak) dan terasa dikhianati oleh individu yang sama. Individu tersebut adalah biras saya dan saya sangat rapat dengannya umpama kakak sendiri. Atas dasar rapatnya hubungan kami dia mengambil kesempatan berkali-kali. Tapi setiap kalipun saya berkata pada diri yang mungkin dia tidak berniat begitu. Saya tahu dia menipu dan mempermainkan saya untuk mendapatkn duit tersebut tetapi mengenangkan hubungan adik beradik suami saya diamkan sahaja.
Sehingga baru-baru ini individu tersebut telah membocorkan rahsia hal rumahtngga saya kepada ahli keluarga yang lain. Saya rasa dikhianati.
Dalam masa yang sama saya juga bersyukur kerana Allah telah memberikan satu kesedaran untuk saya benar2 melihat perangai dan sikapnya yang sebenar.
Soalannya;
Adakah dengan memberi kemaafan kepada orang yang membuat salah kepada kita, maka mereka akan terlepas dari hukuman Allah?
Adakah dengan menghalalkan apa yang mereka ambil dengan cara licik dan menipu akan membersihkan darah mereka yang memakan hasil dari menipu tersebut?
Adakah saya berdosa jika saya tidak memaafkan dan menghalalkan apa yang dia ambil dari saya?
Saya tidak mahu menyimpan rasa dendam dan amarah pada orang yang sia2 seperti biras saya. Saya tidak mahu berurusan dengan orang sepertinya di dunia mahupun di akhirat dengan berhutang dalam apa jua bentuk (kemaafan contohnya).
Tetapi seperti tidak adil andai mereka tidak mendapat apa2 balasan atas perbuatan mereka kerana mereka telah mendapat kemaafan.
Mohon pencerahan.
Terima kasih
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan puan;
1. Kemaafan seseorang atas kesalahan yang dilakukan oleh orang lain MUNGKIN boleh menghalang pesalah daripada hukuman Allah SWT. Perlu difahami bahawa seseorang yang berdosa kepada orang lain bukan sahaja wajib memohon kemaafan orang yang dizaliminya akan tetapi mereka juga wajib bertaubat kepada Allah SWT dan memulangkan haknya ataupun digantikan dengan nilai yang sama, ataupun diminta halalkan. Jika pemilik tersebut tidak menghalalkannya dan orang yang berhutang tersebut sengaja tidak mahu memulangkan atau membayarnya, maka tidak akan terlepas tanggungjawab mereka. Hal ini berdasarkan, daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:
نفسُ المؤمنِ مُعلَّقةٌ بدَيْنِه حتَّى يُقضَى دَيْنُه
Maksud: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya.
(Riwayat al-Tirmizi)
Selain itu, hadis daripada Abu Hurairah RA bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda:
مَن أخَذَ أمْوالَ النَّاسِ يُرِيدُ أداءَها أدَّى اللَّهُ عنْه، ومَن أخَذَ يُرِيدُ إتْلافَها أتْلَفَهُ اللَّهُ.
Maksudnya:Sesiapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan tujuan untuk membayarnya (mengembalikannya), maka Allah akan tunaikan untuknya. Dan sesiapa yang mengambilnya untuk tujuan tidak melunasinya, maka Allah akan membinasakannya.
(Riwayat al-Bukhari)
2. Secara asasnya pemiutang atau orang yang memberi hutang berhak untuk menuntut hutang yang merupakan haknya. Begitu juga seseorang diharuskan untuk tidak memaafkan kerana ia mempunyai hak untuk membalas atau menuntut kembali sesuatu jika dia dizalimi dan diambil barang-barang kepunyaannya.
Namun begitu, Islam sangat menggalakkan pemiutang memaafkan dan mempermudah penghutang sekiranya mereka sedang mengalami kesulitan. Pemiutang hendaklah menunggu atau memberi tempoh sampai ada kelapangan sehingga memungkinkan dia melunaskan hutang. Tambahan pula, bersedekah kepada orang yang berhutang yang sedang menanggung kesulitan dengan membebaskan sebahagian atau seluruh hutangnya adalah lebih baik bagi pemiutang. Perbuatan mulia ini besar pahalanya di sisi Allah SWT dan ia juga mengundang rahmat dan keampunan Allah SWT.
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كَانَ الرَّجُلُ يُدَايِنُ النَّاسَ فَكَانَ يَقُولُ لِفَتَاهُ إِذَا أَتَيْتَ مُعْسِرًا فَتَجَاوَزْ عَنْهُ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَتَجَاوَزَ عَنَّا قَالَ فَلَقِيَ اللَّهَ فَتَجَاوَزَ عَنْهُ
Daripada Abu Hurairah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: Ada seorang lelaki memberi pinjaman (hutang) kepada orang lain dan dia berpesan kepada seseorang yang lain; Jika kamu didatangi mereka berhutang tetapi mereka dalam kesulitan untuk membayarnya maka bebaskanlah, semoga Allah membebaskan kita (pada hari kiamat) Baginda bersabda: Maka orang itu berjumpa dengan Allah SWT lalu Allah membebaskannya (mengampuninya)
Islam juga menganjurkan kita untuk berlaku ihsan sesama manusia. Bahkan orang yang menahan marah dan pemaaf termasuk daripada kalangan yang dijanjikan syurga Allah SWT kelak seperti menurut firman-Nya dalam Surah Ali-Imran ayat 133 dan134:
وَسَارِعُوٓا۟ إِلَىٰ مَغْفِرَةٍ مِّن رَّبِّكُمْ وَجَنَّةٍ عَرْضُهَا ٱلسَّمَٰوَٰتُ وَٱلْأَرْضُ أُعِدَّتْ لِلْمُتَّقِينَ (١٣٣) ٱلَّذِينَ يُنفِقُونَ فِى ٱلسَّرَّآءِ وَٱلضَّرَّآءِ وَٱلْكَٰظِمِينَ ٱلْغَيْظَ وَٱلْعَافِينَ عَنِ ٱلنَّاسِ ۗ وَٱللَّهُ يُحِبُّ ٱلْمُحْسِنِينَ
Maksudnya: Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) Syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertaqwa; (133) Iaitu orang-orang yang mendermakan hartanya pada masa senang dan susah, dan orang-orang yang menahan kemarahannya, dan orang-orang yang memaafkan kesalahan orang. Dan (ingatlah), Allah mengasihi orang-orang yang berbuat perkara-perkara yang baik.
Walaupun mungkin tidak berdosa untuk tidak memaafkan orang lain, namun ia menyebabkan kerugian yang besar kerana melepaskan peluang kebaikan serta keampunan daripada Allah SWT.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin
والله أعلم بالصواب