BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya tentang ganti puasa dan haid di bulan ramadhan.  Saya haidh pada 24 mac sehingga 29 mac ( 6 hari di dalam bulan ramadhan), Kemudian saya solat dan puasa seperti biasa sehingga pada 7 April ( selepas isya ) saya dapati ada sedikit tompokan darah, soalan saya adakah puasa saya diantara 28 mac hinga 7 april sah? (Atau perlu mengganti puasa sebanyak 15 hari). Dan hari selepas 7 april adakah dikira istihadhah. 
 

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Berdasarkan kenyataan yang diberikan, apa yang dapat difahami ialah darah keluar dari 24 Mac hingga 29 Mac (6 hari), kemudian darah berhenti, lalu puan solat dan berpuasa (30 Mac hingga 6 April). Namun pada 7 April (iaitu hari yang ke 15 dari awal haid) terdapat tompokkan darah dan berterusan keluar (berdasarkan soalan: selepas 7 April adakah dikira istihadhah?). Memandangkan darah yang keluar telah melebihi 15 hari, Ini bermakna telah bercampur antara darah haid dan istihadhah.

Terdapat perbezaan hukum berdasarkan keadaan dan ciri-ciri darah yang keluar pada 7 April:

1. Seandainya darah yang keluar pada 7 April itu sama keadaan dan cirinya sebagaimana darah yang keluar pada 24 hingga 29 Mac, ini bererti darah yang keluar tidak dapat dibezakan antara darah haid dan istihadhah.

Maka puan perlu tengok adat sebelum ini (tempoh haid yang terakhir sebelum ini). Jika adat sebelum itu haid puan ialah 6 (enam) hari, maka untuk kali ini tempoh haid puan juga dikira 6 hari. Selebihnya dikira suci (bukan haid). Maka solat dan puasa puan pada 30 Mac hingga 6 April adalah sah. Darah yang keluar pada 7 April dan selepasnya adalah darah istihadhah.

Hukum yang sama, jika sebelum ini adat haid puan ialah 7 hari atau lebih tetapi tidak sampai 15 hari, maka untuk kali ini haid puan tetap 6 hari juga kerana 6 hari itu ada darah manakala selepas 6 hari itu tak ada darah.

Walau bagaimanapun, jika sebelum ini adat haid puan ialah 15 hari maka untuk kali ini, tempoh haid puan adalah 15 hari termasuklah hari yang tidak ada darah, ini kerana pada hari ke 15, iaitu 7 April, ada darah. Oleh itu, hari yang tidak ada darah iaitu pada 30 Mac hingga 6 April juga dikira tempoh haid. Ini adalah kerana tempoh 30 Mac hingga 6 April itu dikepung oleh dua darah iaitu hari ke 6 (29 Mac) dan hari ke 15 (7 April). Dari itu, puasa Ramadhan yang ditunaikan pada 30 Mac hingga 6 April adalah tidak sah dan wajib diqada'.

2. Seandainya darah yang keluar pada 7 April berbeza dengan darah yang keluar pada 24 hingga 29 Mac, seperti coklat atau kekuningan sedangkan darah yang keluar pada 24 hingga 29 Mac berwarna merah, maka ini bermakna dapat dibezakan di antara darah haid dan istihadhah. Darah merah (24-29 Mac) dikira haid kerana ia adalah darah yang lebih kuat daripada coklat atau kuning. Oleh itu, 7 April dikira permulaan darah istihadhah dan tempoh antara 30 Mac hingga 6 April adalah tempoh suci.

Sebagai maklumat tambahan, seandainya tompok darah yang keluar itu keluar hanya pada 7 April dan tidak bersambung dengan hari seterusnya, maka ini bermakna dari 24 Mac sehingga 7 April, termasuk hari yang tiada darah, adalah tempoh haid puan. Ini adalah kerana darah yang keluar masih di dalam tempoh maksimum haid. Oleh itu, puasa Ramadhan yang ditunaikan pada 30 Mac hingga 6 April adalah tidak sah dan wajib diqada'.  

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 174

message user image