BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.... Adakah orang masih belum habis qadha solat fardhu yang ditinggal waktu muda, HARAM untuk melakukan solat sunat seperti sunat tarawikh, sunat rawatib, sunat dhuha, sunat witir, sunat aidul fitri, aidul adha. Mohon penjelasan...


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Pertama sekali ingin kami ucapkan tahniah atas keprihatinan dan kesedaran tuan tentang kepentingan solat, pada waktu ramai orang pada zaman ini yang mengabaikan solat fardu mereka. Agama Islam amat menitik beratkan soal solat. Ini berdasarkan hadis daripada Abdullah bin Buraidah, daripada ayahnya RA bahawa Rasulullah SAW bersabda:

العَهْدُ الَّذِي بَيْنَنَا وَبَيْنَهُمُ الصَّلَاةُ، فَمَنْ تَرَكَهَا فَقَدْ كَفَرَ

Maksudnya: Batasan antara kita (orang Islam) dan mereka (orang kafir) ialah solat, maka barangsiapa yang meninggalkan solat maka dia telah kafir. (Riwayat  Ahmad)

Jika kita pernah terlalai daripada menunaikan solat fardu, maka wajib bagi kita mengqada'kan solat-solat fardu itu semampu kita kerana ia dikira hutang dengan Allah SWT yang wajib kita tunaikan.

Daripada Abdullah bin Abbas RA, Rasulullah SAW bersabda:

فَدَيْنُ اللَّهِ أَحَقُّ أَنْ يُقْضَى

Maksudnya: Maka adalah hutang kepada Allah itu lebih berhak untuk dilangsaikan. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hal ini, kami berpandangan bahawa menyegerakan qada' solat fardu itu adalah keutamaan bagi tuan dalam hal ibadat namun dibenarkan bagi tuan melakukan solat sunat yang bersebab contohnya solat Dhuha, Tahiyyatul Masjid, Tarawih dan lain-lain solat sunat. Juga digalakkan agar tuan memperbanyakkan bersedekah dan berbudi kepada manusia. Semoga Allah mengampuni dan merahmati kita semua.  

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 114

message user image