Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan: Salam tuan/puan, saya ada sedikit permasalahan untuk diutarakan. Untuk pengetahuan tuan, saya berasal dari Negeri Sembilan berumur 32 tahun, sudah mempunyai seorang isteri dan dua orang anak. Saya ingin mengahwini seorang lagi wanita berasal dr Pahang berusia 31 tahun sebagai isteri saya yang kedua dengan niat baik untuk membantunya dan sangat mencintainya. Keluarga wanita itu sudah merestui hubungan kami. Alhamdulillah dr segi financial, inshaAllah saya yakin boleh berikan yang terbaik kepada kedua-duanya dan anak2. Selebihnya, InshaAllah saya cuba yang terbaik juga unutk bersikap adil semampu saya. Saya juga tidak pernah mengabaikan tanggungjawab saya kepada isteri dan anak2 selama ini. Saya sudah meminta izin isteri saya, dia kelihatan boleh menerima permintaan saya walaupun tidak sepenuhnya. Ada juga dia minta untuk saya menceraikan dia tetapi saya sayang padanya dan x mungkin saya menceraikan dia, dan wanita baru itu juga begitu memerlukan saya dan saya berjanji untuk mengahwininya. Tapi saya berjaya memujuk isteri saya, dan dia setuju. Seterusnya, apabila saya meminta izin ibu bapa saya dan mertua saya, mereka sangat menentang hubungan ini, membuatkan isteri saya juga turut tidak bersetuju semula. Saya dah cuba yang terbaik untuk meneruskan hubungan ini secara baik dan memberikan hak untuk mereka tahu mengenai perkara ini. Tapi saya juga rasa perkahwinan kali kedua ini juga terbaik untuk saya dan wanita baru itu untuk mengelakkan perkara yang tidak sepatutnya dan selepas doa dan istikharah. Saya nekad untuk meneruskan perkahwinan ini. Dan saya seboleh-bolehnya tidak mahu berkahwin di Thailand untuk menghormati wali dan keluarga wanita baru yang ingin saya nikahi itu. Apakah pendapat tuan yang lebih arif mengenai hal ini? Apakah yang patut saya lakukan? Bolehkah saya meneruskan perkahwinan ini secara normal di Malaysia?
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, seseorang lelaki dibenarkan untuk berkahwin lebih daripada seorang sekiranya benar-benar berkemampuan dan dapat melaksanakan tanggungjawab terhadap isteri-isteri dan kesemua anak-anaknya dengan baik dan adil. Sekiranya berhajat untuk berkahwin lagi adalah lebih baik diurus dan dilakukan mengikut prosedur dan peraturan berpoligami di Malaysia agar ia tidak mendatangkan sebarang risiko dikemudian hari. Adalah dicadangkan tuan mendapatkan khidmat nasihat terlebih dahulu di mana-mana Pejabat Agama Islam Daerah yang berdekatan agar segala urusan dapat diurus mengikut Enakmen Undang-undang Keluarga Islam Negeri sedia ada. والله أعلم بالصواب Sekian, terima kasih.