BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ingin bertanya bagi pihak ibu saudara yang baru keguguran. Menurut pengetahuan saya, seorang wanita yang keguguran di awal kehamilan (9 minggu) akan mengalami pendarahan yang disebut sebagai darah nifas selama 60 hari maksimum. Soalan saya adalah:

1. Adakah darah tersebut harus keluar sehari semalam, barulah dikira sebagai darah nifas?

2. Darah nifas yang dialami hanya keluar pada waktu petang dan malam sahaja, adakah ibadah puasa yang dikerjakan di pagi hari sah atau tidak?

3. Warna darah nifas yang keluar adalah kekuningan, maka adakah ia masih dikira darah nifas?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Sepertimana yang semua sedia maklum bahawa, kadar minimum bagi darah nifas ialah satu percikan (majjah) darah yang keluar selepas bersalin walaupun sedikit. Manakala dari segi tempoh normal/ kebiasaan darah nifas adalah 40 hari sehingga 60 hari. Bagi menjawab persoalan yang dikemukakan, ingin kami jelaskan seperti berikut:

1) Darah nifas yang keluar tidak semestinya keluar selama sehari semalam. Ini kerana darah yang keluar akibat keguguran, tidak sama keadaannya antara seseorang dengan seseorang yang lain. Ada yang keluarnya sedetik sahaja dan ada juga yang berlanjutan hingga beberapa hari. 

2) Darah nifas yang keluar pada waktu-waktu tertentu sama ada pagi, petang atau malam sahaja juga dikategorikan sebagai darah nifas dan boleh membatalkan ibadah puasa, selama mana ianya masih dalam tempoh bernifas. Dalam menjelaskan beberapa kekeliruan yang timbul khususnya bagi wanita-wanita yang mengalami situasi ini, ingin kami jelaskan bahawa, jika seseorang wanita telah terputus darah nifas dalam tempoh maksimum (60 hari), namun kurang daripada 15 hari, maka ia masih dikira sebagai darah nifas. Contohnya, darah nifas Aminah terhenti pada hari ke-20, kemudian datang semula pada hari ke-31, maka ia masih dikira sebagai darah nifas. Berlainan pula situasinya, jika seseorang wanita telah  terputus darah nifas selama 15 hari atau lebih, maka darah yang keluar untuk kali kedua (selepas 15 hari) itu dikira sebagai darah haid kerana dia telah melalui tempoh penyucian haid yang minimum iaitu 15 hari. Contohnya, apabila Aminah telah terputus darah nifas pada hari ke-20, kemudian darah keluar semula selepas 15 hari iaitu hari ke-36, maka darah ini dikira sebagai darah haid bukan lagi darah nifas. 

3) Sekiranya  masih di dalam tempoh nifas, jika warna darah yang keluar adalah kekuningan, ianya masih dikira darah nifas dan mengharamkannya  melakukan ibadah seperti solat dan berpuasa.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 1540

message user image