Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya nak menanya mengenai tempoh iddah kematian suami,
Baru-baru ini ayahanda saya telah kembali kerahmatullah, segala permergiaannye diurus di Negeri sembilan kerana meniaga di sana. Dan rumah asalnye di Johor. Rumah di negeri sembilan adalah rumah anaknya.
Sekarang ibu saya duduk bersama anak perempuannya dah menantu.
Di sini saya kurang arif. Apakah ibu saya boleh meneruskan iddah nya di pulang ke Johor di mana rumah arwah yang sediakan atau mesti menetap di rumah anak perempuan yang sudah berkahwin.
tetapi ibu saya berasa janggal duduk serumah dengan menantu lelakinya.
Apakah Hukum dan Pandangan yang dibenarkan dalam islam.
Jawapan
Tempoh iddah wanita yang kematian suami adalah 4 bulan 10 hari. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah ayat 234:
Maksudnya: Dan orang-orang yang meninggal dunia di antara kamu, sedang mereka meninggalkan isteri-isteri hendaklah isteri-isteri itu menahan diri mereka (beriddah) selama 4 bulan 10 hari.
Pada dasarnya isteri kematian suami perlu beriddah di rumah di mana pada kebiasaanya isteri tinggal bersama suaminya. Namun seandainya terdapat halangan seperti faktor penyediaan makan minum, keselamatan, kesihatan dan sebagainya, adalah diharuskan untuknya beriddah di rumah anak yang boleh menjamin kebajikan dan kemaslahatannya sehingga berakhir tempoh iddah. Justeru, jika ibu memilih untuk menetap di rumah asalnya di Johor pastikan ada anak-anak yang boleh menemaninya di rumah. Jika ibu memilih untuk tinggal bersama anak-anaknya, pastikan keperluan ibu dijaga.
Berbalik semula kepada syarat yang perlu dipatuhi semasa tempoh iddah, wanita yang kematian suami tidak dibenarkan keluar rumah termasuk untuk bermusafir kecuali dalam had dan batas yang diperlukan sahaja. Antara keperluan penting yang membolehkan keluar rumah ialah untuk bekerja, mendapatkan rawatan perubatan, membeli barang-barang keperluan asasi (sekiranya tiada ahli keluarga atau orang lain yang amanah boleh melakukannya) dan keperluan-keperluan lain yang penting dan mendesak dengan syarat mereka dapat menjaga peraturan dan adab-adab seperti yang disyariatkan Islam. Keharusan untuk keluar rumah ini juga hanya tertakluk pada waktu siang dan tidak pada waktu malam. Namun pengecualian diberikan kepada individu yang tidak mempunyai pilihan dan perlu bekerja pada waktu malam seperti doktor jururawat dan sebagainya. Bagi larangan bermusafir ia termasuk larangan untuk menunaikan ibadat fardu haji dan umrah.
Justeru, anak-anak hendaklah mengambil perhatian berkenaan syarat semasa iddah ibunya supaya tidak berlaku perkara yang bertentangan dengan apa yang ditetapkan kepada wanita yang dalam tempoh iddah kematian suami.
Di samping beriddah kematian suami, ibu wajib ihdad iaitu tidak berhias/ bersolek, memakai wangian, memakai barang kemas, memakai pakaian yang menarik perhatian semasa dalam tempoh iddah.