BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum, saya ingin bertanya... Apakah hukum hasil komisyen yang diperoleh oleh ejen hartanah sekiranya client atau pembeli rumah yg ejen hartanah ini uruskan menggunakan pinjaman bank konvensional yang menggunakan sistem riba? Kerana terdapat hadis nabi yang mengatakan nabi melaknat orang yg memakan riba, orang yg memberi riba, saksinya dan penulisnya... Adakah dalam situasi ini ejen hartanah tergolong dlm golongan penulis itu? seperti yang dinyatakan dalam hadis nabi tersebut...


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته     

الحمد لله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وأصحابه أجمعين أما بعد      

Merujuk kepada situasi yang diberikan, pembeli rumah yang memilih pinjaman konvensional terlibat dalam perbuatan riba yang diharamkan menurut Hukum Syarak. Ejen hartanah juga berdosa dan haram memakan hasil tersebut jika beliau terlibat secara langsung dalam urusan pinjaman konvensional tersebut seperti menjadi menulis dokumen atau apa-apa urusan yang berkaitan.

Adapun sekiranya beliau hanya menulis dokumen berkaitan jual beli rumah yang turut dinyatakan di dalamnya jenis pinjaman yang dibuat misalnya dan tidak terlibat sama sekali dalam urusan pinjaman tersebut, maka beliau tidak menanggung ada-apa dosa dan kesalahan dan hasil yang diperolehi olehnya adalah halal.

Firman Allah SWT dalam Surah al-An’am ayat 164:

وَلَا تَكْسِبُ كُلُّ نَفْسٍ إِلَّا عَلَيْهَا

Maksudnya: Dan tiadalah (kejahatan) yang diusahakan oleh setiap orang itu melainkan orang itu sahaja yang akan menanggung dosanya.

Ayat di atas menjelaskan bahawa dosa hanya ditanggung oleh si pelaku dan tidak ditanggung oleh mana-mana pihak lain yang berurusan dengannya selepas itu.

Oleh itu, dapat dijelaskan bahawa ejen hartanah tersebut tidak termasuk dalam golongan yang dilaknat Rasulullah SAW kerana tidak terlibat secara langsung dalam transaksi mendapatkan hasil pinjaman riba daripada pinjaman konvensional.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 488

message user image