BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Bolehkah zakat diberikan kepada satu pusat pengajian tahfiz?  Pusat pengajian ini ada murid golongan asnaf dan pusat ini juga sedang dalam keberuntungan yang tinggi.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Isu atau permasalahan ini timbul berkaitan kecenderungan dan keinginan sesetengah syarikat atau anggota masyarakat mengagih sendiri zakat kepada asnaf-asnaf zakat tanpa melalui agensi yang telah dilantik oleh pihak kerajaan atau pemerintah. Dalam menjawab persoalan ini, kami berpandangan bahawa pembayaran zakat di negeri Selangor perlu diserahkan kepada pihak berwajib yang telah dilantik oleh pemerintah (ulil amri) iaitu Lembaga Zakat Selangor atau mana-mana pihak yang dilantik oleh Majlis Agama Islam Negeri Selangor. Membayar zakat bukan melalui pihak selain yang telah ditetapkan adalah melanggar undang-undang sebagaimana yang termaktub di dalam Enekmen Jenayah Syariah Selangor 1998, Seksyen 21. Tidak membayar zakat atau fitrah: Mana-mana orang yang wajib membayar zakat atau fitrah tetapi-

(a) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu; atau
(b) enggan membayar atau dengan sengaja tidak membayar zakat atau fitrah itu melalui amil yang dilantik, atau mana-mana pihak lain yang diberikuasa, oleh Majlis untuk memungut zakat atau fitrah,

adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

Seandainya terdapat pihak-pihak yang ingin membuat pembayaran atau mengagihkan zakat secara terus kepada asnaf, mereka boleh memohon wakalah agihan zakat daripada pihak Lembaga Zakat Selangor.

Oleh itu, membayar zakat tanpa melalui pihak yang diberi kuasa untuk menerima bayaran zakat oleh pihak pemerintah adalah suatu kesalahan menurut undang-undang dan ia adalah dianggap berdosa kerana telah melanggar pihak ulil amri. Namun zakat tersebut masih dianggap sah sebagaimana keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal ataupun pusat pungutan zakat mahupun organisasi tertentu yang telah dilantik oleh pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Walaubagaimanapun, perbuatan tersebut  melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan seperti perkara ini adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 53

message user image