BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Setiap kali saya buang air kecil, saya istibra dan memang sudah rasa air kencing dah habis. Selepas itu saya beristinja’ dan saya akan keringkan luar kemaluan dengan tissue. Walaupun saya tidak merasakan ada air kencing yang keluar akan tetapi apabila saya check di hujung kemaluan itu, saya sering kali melihat terdapat ada sedikit cairan di celah hujung kemaluan tapi tidak sehingga menitis (cairan seperti nampak seperti satu line betul2 di celah mulut hujung kemaluan itu) walaupun pada awalnya tadi sudah saya keringkan. Cairan seperti datang keluar dari dalam mulut kemaluan itu. Kadang2 cairan ini hanya boleh dinampak apabila saya menyuluh dengan lampu. Perkara ini menyebabkan saya terpaksa tidak berpakaian dan melihat hujung kemaluan berkali2 untuk pastikan tiada air seperti itu. Ini mengambil masa yang lama dan menganggu kehidupan saya. 

Saya tidak pasti sama ada ini adalah perasaan was2 ataupun sebernaya itu memang betul2 air kencing yang keluar ataupun air basuhan atau apa. Saya juga merasakan perbuatan saya melihat hujung kemaluan berkali2 itu seperti memberat-beratkan bab thaharah tapi dalam masa yang sama saya takut kalau saya tak check, bagaimana jika benar2 keluar dan yang keluar itu air kencing.

Saya ada melihat di youtube, ada ustaz2 yang menasihati supaya tidak perlu mencari-cari atau  berhenti melihat hujung zakar, dan juga ada yang menyatakan sisa2 air kencing yang tidak di ketahui keluar dimaafkan. Jadi saya nak mintak pandangan ustaz tentang perkara ni. Apa patut saya lakukan?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada permasalahan yang diajukan, terdapat unsur-unsur yang memberat-beratkan dalam aspek taharah ini dalam diri anda. Adalah dinasihatkan agar tidak melakukan perbuatan sedemikian, ini kerana akan menjadikan anda terbeban dengan perasaan anda sendiri. Di dalam agama Islam tidak disuruh mencari-cari najis yang keluar dari kemaluan. Apa yang kita disuruh apabila membuang air adalah dengan membersihkan tempat atau bahagian yang terkena najis sahaja. Ini yang diperintahkan di dalam agama Islam. Kita tidak disuruh melihat dari lubang kemaluan apakah masih terdapatnya najis keluar ataupun tidak, bahkan sebenarnya apabila kita beristinjak dengan menggunakan air, maka sudah tentu terdapat saki-baki air yang turun dan berkumpul di hujung kemaluan dan seterusnya menitis. Memang perkara ini akan berlaku, kerana itu apabila telah dipastikan air kencing atau najis telah keluar habis, maka yang menitis selepas beristinjak itu adalah air atau bekas air yang telah kita gunakan untuk membersihkan bahagian atau tempat keluarnya najis.

Hukum asal sesuatu itu adalah suci, maka ia akan terus kekal suci. Manakala najis itu sifat atau keadaan yang mendatang, maka ia perlu dibuktikan dengan keyakinan, dan bukan ragu-ragu. Perasaan tidak yakin atas sesuatu itu merupakan penyakit was-was pada diri anda yang perlu dielakkan dan dijauhi bagi  menggelakkan permasalahan yang lebih berat kepada diri anda pada masa akan datang. Perasaan was-was itu adalah gangguan dari syaitan. Para ulama’ amat mengambil berat mengenai penyakit ini kerana jika dibiarkan berlarutan boleh menjadi sesuatu yang lebih kronik kerana ianya penyakit yang berkaitan dengan jantung hati.  

Berdoalah kepada Allah SWT semoga kita dijauhi dari penyakit was-was ini.

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 564

message user image