BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum.

Saya ada kemusykilan mengenai darah haid dan naqa'.
Kebiasaan saya haid dalam 5 hari tetapi saya lambat suci. Dalam tempoh hari ke 6-15 tu darah yang keluar tu sedikit sahaja kemudian ia kering sepanjang hari dan keluar sedikit balik pada keesokkan harinya. Contoh kesan darah keluar pada hari ke 6 pukul 8pg, kemudian kering sepanjang hari dan keluar balik esok hari dalam pukul 9pg dan kemudian kering sepanjang hari, Begitu lah keadaanya sehingga warna darah bermula dari coklat ke kuning cair, keruh kemudian jernih. Adakah semasa kering tanpa darah walau dikesat pada permukaan faraj (saya belum berkahwin) itu sebenarnya dalam tempoh naqa? Selama ini saya tidak solat sepanjang 15 hari, tapi bulan Ramadan tahun ni saya mandi dan solat hampir setiap hari dalam tempoh saya kering walaupun saya yakin puasa saya tidak sah. Adakah betul tindakan saya atau adakah saya perlu qada semua solat saya selama ini?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه اجمعين أما بعد

Naqa’ ialah keadaan tempoh terputus darah mengalir keluar dan tidak kelihatan kesan darah (suci) pada kapas setelah dimasukkan ke dalam faraj. Naqa’ tersebut akan dikira haid sekiranya memenuhi beberapa syarat-syarat yang ditetapkan. Semasa wanita mengalami masa naqa’ (berhenti di celah-celah antara darah) sewaktu dalam tempoh haid terbahagi kepada dua:

1. Naqa’ dalam keadaan haid iaitu:-

Masa naqa’ (terputus-putus) yang berada dicelah-celah sekurang-kurang haid (24 jam) dan maksimum haid (15 hari) dihukumkan sebagai haid  kerana naqa’ mengikut waktu darah haid dengan memenuhi syarat-syarat berikut:

• Masa naqa’ (terputus) yang berada dicelah-celah antara darah haid yang keluar tidak melebihi maksimum 15 hari.

• Masa naqa’ antara celahan darah yang keluar mestilah termasuk himpunan darah yang keluar tidak kurang daripada sekurang-kurang haid (24 jam).

• Masa naqa’ mestilah berada di tengah celahan di antara 2 darah. 

Sekiranya seseorang wanita melihat darah keluar serta masa naqa’ (terputus/terhenti) itu berada di antara celah-celah darah sebagaimana syarat di atas, maka tempoh naqa’ itu turut dihukumkan sebagai tempoh haid.

  2.  Naqa' dalam keadaan suci iaitu:-

• Naqa’ yang datang selepas darah terakhir berhenti keluar dihukumkan sebagai masa suci tanpa khilaf ulama. Sebagai contoh hari terakhir pada hari ketujuh selepasnya tiada darah.

• Naqa’ di celah himpunan haid yang kurang sehari semalam, dianggap darah fasad (istihadhah).

• Sekiranya, bertambah naqa’ antara darah yang keluar melebih 15 hari adalah darah istihadhah.

Berdasarkan soalan dan keterangan yang dinyatakan, permasalahan ini dikategorikan sebagai naqa' dalam keadaan haid. Ini kerana telah memenuhi syarat-syarat yang dinyatakan di atas. Walaupun begitu semasa naqa' itu adalah wajib mandi dan solat dengan anggapan haid telah berhenti kerana kita tidak tahu apakah darah akan datang lagi atau tidak. Jika datang pula darah selepas itu tetapi masih dalam lingkungan di bawah 15 hari maka barulah nyata haid belum tamat. Begitulah yang dilakukan setiap kali naqa' (mandi dan solat). Oleh itu solat atau puasa yang dilakukan semasa naqa' itu terbatal dan puasa perlu diqada’ manakala solat tidak perlu diqada'. Seseorang tidak berdosa jika solat atau puasa atau melakukan hubungan kelamin suami isteri semasa tempoh naqa' walaupun setelah itu ternyata naqa' itu dikira sebagai tempoh haid.

والله أعلم بالصواب

 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 322

message user image