Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum wbt..soalan saya berkenaan arwah ibu saya yang telah meninggal dunia hampir 4 bulan yang lalu pada usia 89 tahun. Semasa hayat beliau, arwah pernah menyatakan bahawa semasa zaman muda dahulu ada puasa yang tinggal terutamanya ketika berada di dalam pantang (anggaran 70 tahun yang lalu). Arwah telah lupa dan tak terkira berapa hari tinggal puasa tapi yang pasti memang banyak rasanya. Oleh yang demikian, bagaimana untuk tentukan bayaran fidyah dan jumlah hari untuk ganti puasa. Pada masa yang sama, bolehkan menantu perempuan tolong menggantikan puasa. Sekian, terima kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan, cara untuk membayar fidyah bagi pihak arwah ibu adalah:
1. Dengan membuat anggaran jumlah hari ibu tidak berpuasa yang mana ibu mampu untuk mengqada'nya, tapi ibu tidak berbuat demikian. Jumlah hari inilah yang wajib diqada' puasa dan dibayar fidyah atas kelewatan mengqada'nya.
2. Dengan membuat anggaran jumlah hari ibu tidak berpuasa, di mana ketika itu ibu telah sakit atau uzur yang tidak mampu lagi untuk berpuasa. Jumlah hari ini tidak perlu diqada', hanya perlu dibayar fidyah sahaja.
Kita buat andaian/ anggaran:
1. Sejak umur ibu 20 tahun hingga ibu uzur berumur 80 tahun (selama 60 tahun), setiap tahun ibu tinggal puasa sebanyak 10 hari di bulan Ramadhan. 60 tahun x 10 hari = 600 hari. Inilah jumlah hari yang perlu diqada' dan dibayar fidyah.
2. Sejak umur 81 tahun hingga ibu meninggal 89 tahun (8 tahun), ibu tidak mampu untuk berpuasa. 8 tahun x 30 hari = 240 hari. Ini adalah jumlah hari yang perlu dibayar fidyah tanpa perlu diqada'.
Jumlah hari yang perlu dibayar fidyah, 840 hari dan jumlah hari yang perlu diqada' adalah 600 hari.
Bayaran fidyah:
Kadar fidyah adalah disarankan berdasarkan kepada jenis beras yang biasa arwah makan semasa hayatnya seperti berikut:
1. Beras Super Tempatan Gred A: RM2.00 / sehari
2. Beras putih import / beras perang / beras pulut / herba ponni / beras wangi: RM4.00 / sehari.
3. Beras basmathi / beras jepun / beras merah: RM6.00 / sehari.
840 hari x RM2.00 = RM1,680.00 (bayaran tidak berganda).
Di samping itu, pilihan boleh dibuat bagi yang berkemampuan untuk membuat bayaran secara berganda. Untuk memudahkan pengiraan, tuan boleh layari laman web Lembaga Zakat Selangor di sini: https://www.zakatselangor.com.my/info-zakat/zakat-kewajipan-berzakat/fidyah/
Qada' puasa:
Jumlah hari puasa yang ditinggalkan boleh digantikan oleh wali si ibu atau ahli keluarga/ waris terdekat dalam kalangan anak-anak serta kaum kerabat. Namun bukan suatu kewajipan bagi mereka. Sekiranya terdapat orang luar (bukan dari kalangan wali si mati) yang berpuasa bagi pihak arwah tanpa izin daripada wali atau tiada wasiat dari si mati maka tidak sah puasa tersebut. Merujuk kepada soalan yang diajukan, menantu boleh mengqada' puasa arwah ibu sekiranya mendapat keizinan daripada waris terdekat.
والله أعلم بالصواب