Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
As salaamu alaikum Ustadz/Panel.
Mohon agar soalan dan butiran saya TIDAK di umumkan kepada orang ramai.
Saya ingin memberi zakat kepada seorang ipar yang sihat tubuh badan yang sudah tidak mempunyai pekerjaan tetap dan tidak mahu berkerja secara tetap. Beliau mempunyai 4 orang anak yang juga berpendirian sama dan tidak berkerja secara tetap walaupun sudah berkahwin. Ipar ni lebih berkhayal untuk mendapatkan 'projek-projek' besar yang tidak kunjung tiba daripada berusaha menggunakan tulang empat kerat sendiri dan sering berbelanja diluar kemampuan.
Apakah wajib ipar saya ini diberi zakat ? Patut tidak saya utamakan ipar ini daripada asnaf asnaf lain ?
Terima kasih.
Jawapan
Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.
Dalam isu ini, zakat dibolehkan, namun tidak diwajibkan, diberi kepada ipar sekiranya statusnya adalah seorang yang miskin. Hal ini kerana, miskin adalah kategori yang tersenarai dalam kalangan asnaf. Ini bertepatan dengan firman Allah SWT di dalam surah at-Taubah ayat ke-60:
Maksudnya: Sesungguhnya sedekah-sedekah (zakat) itu hanyalah untuk orang-orang fakir, dan orang-orang miskin, dan amil-amil yang mengurusnya, dan orang-orang muallaf yang dijinakkan hatinya, dan untuk hamba-hamba yang hendak memerdekakan dirinya, dan orang-orang yang berhutang, dan untuk (dibelanjakan pada) jalan Allah, dan orang-orang musafir (yang keputusan) dalam perjalanan. (Ketetapan hukum yang demikian itu ialah) sebagai satu ketetapan (yang datangnya) dari Allah. Dan (ingatlah) Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.
Adapun sekiranya ipar tersebut bukan seorang yang miskin, maka pemberian zakat tersebut adalah tidak sah.
Walau bagaimanapun adalah disarankan untuk membayar zakat kepada pihak yang bertanggungjawab iaitu Lembaga Zakat Selangor sebagaimana yang termaktub di dalam undang-undang. Tuan sebagai pembayar zakat boleh memohon wakalah agihan, seandainya tuan berkelayakan, terhadap sebahagian daripada jumlah zakat yang tuan bayar untuk tuan agihkan sendiri kepada asnaf yang layak.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-76 yang berlangsung pada tahun 2006 telah menetapkan bahawa mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui Baitulmal adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak. Namun, perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang dalam perkara kebaikan adalah berdosa. Ini kerana Islam mewajibkan umatnya untuk patuh dan taat kepada pemerintah (ulil amri) pada perkara kebaikan.
والله أعلم بالصواب