BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Sahibus Samahah / Tuan / Puan.

Saya mempunyai soalan berkenaan zakat harta terutamanya melibatkan ASB. 

1. Bagaimana mengira zakat bagi ASB yang dilaburkan secara berkala? Misalnya baki pada Januari 2022 adalah RM10000. Kemudian ditambah sebanyak RM1000 setiap bulan. Pada Disember 2022 barulah ASB bernilai RM 22000 (melepasi nisab). Adakah zakat ASB dikenakan untuk tahun 2022 boleh dikira cukup haul memandangkan jumlah lepas nisab itu hanyalah sebulan sahaja bagi tahun 2022 dan bukannya setahun.

2. Bagaimana pula ASB yang dilaburkan secara berkala tetapi permulaannya sudah cukup nisab?. Misalnya Januari 2022, ASB berjumlah RM22000. Ditambah RM1000 setiap bulan, jadi pada Disember 2022, ASB berjumlah RM34000 + Dividen. Adakah zakat dikenakan ke atas RM34000 itu atau   RM22000, kerana hanya RM22000 yang cukup tempoh setahun. RM34000 cuma baru sebulan.

3. Purata dividen ASB setiap tahun kebelakangan ini adalah sekitar 5%. Andaikan di dalam ASB ada RM30000 (cukup nisab). Selepas setahun dengan dividen 5%, ASB memberi pulangan sebanyak RM1375. Selepas dikenakan zakat keatas pokok + dividen (2.5% x RM31375 = RM RM784.38), keuntungan dividen ASB selepas dizakat ialah RM590.63 (RM1375 - RM784.38 = RM590.63). Jumlah sebenar ASB selepas dizakat adalah RM30590.63. 

Pulangan RM590.63 ini boleh dianggap sangatlah sedikit dan jika diambil dengan kadar inflasi yang tersangat tinggi dengan purata 3% - 4.5%, harta simpanan umat Islam di Malaysia semakin menyusut dan berkurang tahun demi tahun. Adakah zakat masih perlu dikenakan ke atas harta yang tidak berkembang bahkan menyusut? Adakah kiraan 2.5% zakat wajar dikenakan ke atas wang fiat, memandang perintah 2.5% zakat daripada hadis Rasulullah itu adalah ke atas emas (wang komoditi) yang mana kadar inflasinya tidak seteruk wang fiat. 
Pembayaran zakat 2.5% ke atas wang fiat dilihat peratusan sebenarnya lebih tinggi daripada 2.5% setelah diambil kira faktor yang lain. Bagaimana umat Islam ingin membina kekayaan di atas keadaan yang menyebabkan harta sentiasa susut nilainya setiap saat? 

Saya pernah diberitahu, hikmah pensyariatan zakat harta simpanan adalah untuk membenarkan pengaliran wang ke dalam ekonomi dan mengelakkan harta-harta menjadi 'beku'. Jika zaman dahulu, wang RM30000 yang disimpan di bawah bantal tentu sekali 'beku' kerana tidak dialirkan ke dalam ekonomi. Tetapi pada zaman kini, wang RM30000 yang disimpan ke dalam ASB tidaklah 'beku' sebaliknya mengalir keseluruhannya ke dalam ekonomi sebagai modal pemilikan saham-saham syarikat. 

Pada logik akal saya yang jahil ini, hal kadar zakat dan inflasi yang menyusutkan nilai wang ini mendorong umat Islam untuk terus berbelanja di atas perkara tidak bermanfaat seperti telefon pintar mahal, kasut mahal, ubahsuai kenderaan yang mana boleh dikira sebagai harat-harta 'beku'. Hal ini kerana berbelanja seperti ini adalah 'lebih baik' kerana memberi kepuasan berbanding jika disimpan ke dalam ASB yang akan terus-menerus susut nilai jika tidak dibelanjakan. 

 Mohon penjelasan dan keterangan ke atas diri saya yang jahil ini. Terima kasih


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

1. Pengiraan haul bermula apabila cukup nisab. Sekiranya mencukupi nisab, maka dikenakan zakat tanpa mengira naik turun wang sepanjang tahun tersebut. Adapun jika tidak cukup nisab maka tempoh pengiraan haul belum bermula dan tidak perlu membayar zakat.

2. Kadar haul dikira bermula daripada tempoh bermula sehingga cukup tempoh satu tahun. Apabila nisab mencukupi, maka zakat dikira berdasarkan jumlah terkumpul pada akhir tempoh haul. Maka dalam kenyataan di atas, jumlah yang perlu dikenakan zakat adalah jumlah akhir tahun iaitu RM 34000. Sesuatu hasil yang diperoleh menerusi pengembangan harta dikenakan zakat sebanyak 2.5%.

3. ASB dianggap sebagai harta yang boleh berkembang kerana akan mendapat pulangan berupa keuntungan yang diperolehi menerusi dividen, bonus dan pendapatan ASB setiap tahun, maka harta yang berkembang adalah harta yang dikenakan zakat. Hal ini kerana terdapat sebuah kaedah Fiqah dalam ibadah zakat yang menyatakan:

كل مال نام فهو وعاء للزكاة

Maksudnya: Setiap harta yang berkembang adalah sumber untuk zakat.

4. Menjadi tanggungjawab bagi pemilik dan pengurus ASB untuk mengembangkan pelaburan bagi mendapatkan hasil pulangan dividen yang berpatutan bagi setiap pelabur.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 272

message user image