Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
Saya bekerja sebagai seorang pembantu akaun di salah sebuah syarikat pemasaran. Syarikat ini menjalankan aktiviti perniagaan dengan mengelola pameran dan roadshow pelbagai jenama dari pelbagai industri seperti kereta dan baverages untuk mendapatkan keuntungan. Kemusykilan yang saya hadapi adalah:
1. Apakah haram hasil rezeki saya apabila syarikat tersebut membuat kerja pemasaran untuk syarikat yang mengeluarkan arak?
2. Boleh ke kalau saya membayar zakat terhadap gaji bulanan saya untuk tujuan pembersihan harta? Berapa banyak yang perlu saya zakatkan dari hasil gaji saya tersebut?
3. Perlukah saya menukar pekerjaan?
Mohon penjelasan. Sekian terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاتهالحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعدMerujuk kepada garis panduan yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia yang meletakkan 5% hasil tidak patuh Syariah daripada pendapatan keseluruhan syarikat selama setahun sebagai kayu ukur sama ada sesebuah syarikat itu berstatus patuh syariah atau tidak, seandainya hasil daripada aktiviti pemasaran arak syarikat tersebut tidak melebihi 5% daripada pendapatan tahunan syarikat, maka syarikat tersebut masih dianggap sebagai syarikat yang patuh Syariah. Oleh itu, saudari boleh terus bekerja di syarikat tersebut. Namun, saudari perlu membersihkan hasil pendapatan yang saudari perolehi berdasarkan peratusan hasil daripada aktiviti pemasaran arak pada bulan itu dengan memberikannya kepada Baitulmal atau kemaslahatan umum.. Walau bagaimanapun, seandainya hasil daripada aktiviti pemasaran arak syarikat tersebut melebihi 5% daripada pendapatan tahunan syarikat, maka syarikat tersebut dianggap sebagai syarikat yang tidak patuh Syariah. Berusahalah untuk mencari pekerjaan lain. Namun sementara mencari pekerjaan lain, sucikanlah pendapatan yang diperolehi berdasarkan peratus hasil daripada aktiviti tidak patuh syariah itu. Saudari boleh membayar zakat pendapatan terhadap pendapatan bersih selepas disucikan sekiranya memenuhi syarat. Sila rujuk: https://www.sc.com.my/development/icm/shariah-compliant-securities/shariah-compliant-securities-screening-methodology والله أعلم بالصواب |