Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, Saya ingin bertanya tentang hukum gambar haiwan. Saya minat mengumpul koleksi model pesawat tentera, pada badan pesawat tersebut ada gambar haiwan yang tak cukup sifat seperti kepala burung atau harimau (saiz gambar haiwan ini kecil lebih kurang separuh duit 5 sen). Jadi saya ingin bertanya apakah hukum saya mempamerkan model pesawat yg ada gambar haiwan tersebut dalam rak kaca. Sekian terima kasih.
contoh gambar (gambar kepala haiwan di ekor pesawat):
Jawapan
Merujuk kepada persoalan yang diajukan, para ulama' berbeza pandangan mengenai hukum mempamerkan lukisan atau lakaran gambar haiwan. Terdapat sebahagian ulama' yang mengharamkan perbuatan ini sekiranya mempunyai tiga ciri iaitu lukisan gambar tersebut mempunyai roh seperti lukisan gambar manusia atau haiwan, berniat untuk mengagungkannya atau meniru perbuatan mencipta (sesuatu) oleh Allah SWT.
Namun, terdapat juga ulama' yang berpandangan bahawa perkara ini adalah dibenarkan sekiranya lukisan gambar tersebut tidak mempunyai bentuk tubuh yang sempurna seperti tidak mempunyai kepala atau lain-lain bahagian dan ia juga bukan bertujuan untuk dimuliakan.
Justeru, tidak menjadi masalah sekiranya tuan menyimpan dan mempamerkan koleksi model pesawat tersebut selagimana tidak bertentangan dengan apa yang telah dijelaskan di atas.