BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum. Saya ingin bertanya. Apakah hukum bertaruh tanpa wang atau harta seperti bertaruh kepercayaan/sokongan seseorang? Sebagai contoh, seseorang bertaruh jika dia mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, ibu bapa nya harus menyokong pilihan dia untuk ke universiti yang dipilih olehnya, bukan universtiti yang dipilih kedua orang tuanya. Adakah pertaruhan sokongan/dukungan/kepercayaan ini dianggap sama seperti pertaruhan wang/harta dalam perjudian?


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

لحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

Perkara tersebut tidak dianggap sebagai perjudian mahupun pertaruhan. Akan tetapi, ia hanya sekadar ketetapan dalam membuat pilihan yang terbaik untuk diri malah ia bukan satu perbuatan yang dikira sebagai berdosa. Setiap insan berhak membuat pilihan yang terbaik untuk diri sendiri selagi tidak bertentangan dengan syarak. Walau bagaimanapun, kita juga wajar mempertimbangkan secara rasional bagi setiap pandangan yang dilontarkan selagi mana ia tidak bertentangan syarak. Perkara yang melibatkan urusan antara manusia perlu didasari dengan konsep toleransi kerana ia masih dalam kerangka yang boleh dibawa untuk berbincang.

Maka dalam hal ini, disarankan agar tuan melakukan istikharah iaitu memohon petunjuk daripada Allah serta melakukan istisyarah iaitu mengambil pandangan daripada orang sekeliling untuk membuat sesuatu keputusan, moga-moga Allah SWT permudahkan segala urusan. Hal ini kerana apabila kita bergantung harapan kepada Allah SWT maka jiwa akan menjadi semakin tenang dan redha terhadap takdir yang ditetapkan. Ini bertepatan firman Allah SWT di dalam surah al-Baqarah ayat 216:

وَعَسَىٰ أَن تَكْرَهُوا شَيْئًا وَهُوَ خَيْرٌ لَّكُمْ ۖ وَعَسَىٰ أَن تُحِبُّوا شَيْئًا وَهُوَ شَرٌّ لَّكُمْ ۗ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنتُمْ لَا تَعْلَمُونَ

Maksudnya: Dan boleh jadi kamu benci kepada sesuatu padahal ia baik bagi kamu, dan boleh jadi kamu suka kepada sesuatu padahal ia buruk bagi kamu. Dan (ingatlah), Allah jualah Yang mengetahui (semuanya itu), sedang kamu tidak mengetahuinya.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 146

message user image