Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
السَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Zaman sekarang dengan teknologi yang sangat canggih sehingga boleh mendengar perbualan dan mengetahui kedudukan lokasi seseorang walaupun seseorang itu berada didalam sesebuah bangunan, merupakan satu zaman yang amat mencabar untuk ditempuh didalam kehidupan seharian. Mereka yang memiliki teknologi tersebut boleh melakukan kerosakan kepada kehidupan manusia lain. Ini tidak terkecuali kehidupan saya sendiri yang mengalami penindasan demi penindasan selama beberapa tahun yang lalu sehingga kini. Malangnya saya tidak mempunyai ilmu dan kepakaran didalam teknologi tersebut mahupun berinteraksi dengan masyarakat untuk memperoleh maklumat lanjut yang berkaitan. Soalan saya, apakah hukum bagi mereka yang bekerja (sebagai pengintip) dengan pemilik teknologi tersebut walaupun dengan tujuan untuk "menjaga keselamatan" sekiranya orang yang diintip tidak membenarkan / tidak redha akan aktiviti mengintip mereka? Sebagai sebuah institusi agama, apakah tindakan yang sewajarnya bagi mendidik masyarakat berkaitan isu ini supaya kesan buruk teknologi dapat dikekang dikalangan masyarakat?
Terima kasih.
Jawapan
Perbuatan mengintip juga tertakluk kepada hukum-hakam dan undang-undang. Sekiranya seseorang itu bekerja sebagai pengintip atas dasar wakil negara bagi menjaga keamanan dan keselamatan seperti anggota polis, dan tentera. Maka perkara itu dibenarkan dengan syarat tidak mengintip perkara-perkara yang bersifat aib seperti melihat aurat dan sebagainya. Mereka juga tertakluk kepada polisi-polisi keselamatan dan mesti menjaga P&C (Private and Confidential) masyarakat awam.
Intipan juga dibenarkan dalam situasi peperangan seperti mengawas strategi-strategi musuh sekalipun mereka tidak redha akan perkara tersebut. Justeru, perkara ini memerlukan kepada pendetailan bagi setiap situasi-situasi yang dilakukan.