Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum, saya ada soalan tentang najis, saya bekerja sebagai penghantar barang di mana saya akan hantar setiap rumah orang yang berlainan agama dan ada rumah yang membela anjing, satu hari saya menghantar barang di rumah non muslim yang membela anjing dan terdapat bulu anjing di hadapan rumahnya dalam keadaan basah, ketika saya berjalan menuju ke pagar rumah tersebut saya tidak lihat bulu itu namun ketika berpatah balik dan ingin menangkap gambar rumah tersebut hati saya tergerak untuk melihat jalan dan ketika itu kaki saya berada lebih kurang seinci dengan bulu tersebut dan apabila melihat tapak kasut terdapat tompok basah yg amat kecil, apakah saya perlu sertu tapak kasut saya dan pedal minyak dan brake serta karpet kereta saya. saya mengalami was was teruk sehingga ingin membuang kasut dan menukar pedal dan karpet kereta yang baru. soalan 2, bolehkah saya menggunakan tanah didalam pasu bunga untuk tujuan sertu.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan, pada dasarnya sesuatu benda adalah suci kecuali telah jelas padanya terdapat najis. Asal kepada sesuatu yang bersih itu kekal dianggap bersih sehingga terbukti secara yakin ia telah dicemari oleh najis. Andaian ataupun syak tidak mengubah status asal yang bersih itu. Sebagaimana kaedah Fiqah:
اليقين لا يزال بالشك
Maksudnya: Keyakinan tidak dihilangkan oleh keraguan (syak).
Oleh itu, berdasarkan kepada pernyataan tuan terdapat bulu anjing berada di hadapan rumahnya dan dalam keadaan basah, jika jelas terbukti kasut tuan terkena najis mughallazah, seperti terdapatnya ain najis, maka hanya tempat yang terdapat najis itu sahaja yang perlu disertu selepas dihilangkan ain najis tersebut. Jika tiada najis berkaitan anjing tersebut, maka kasut tersebut tidak perlu disertu.
2. Dibolehkan menggunakan segala jenis tanah yang bersih dan suci daripada najis dalam melaksanakan proses sertu.
والله أعلم بالصواب
Sekian, terima kasih.