Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
assalaamualaikum.jika seseorang baru masuk islam dan sudah mengucap dua kalimah syahadah,adakah dia menjadi orang islam yang beriman atau hanya menjadi orang islam sahaja?dan apakah syarat sah diterimanya iman?terima kasih
Jawapan
Merujuk kepada persoalan saudara, seseorang itu sudah masuk dalam agama Islam, iaitu dianggap sebagai orang yang beriman dan dia adalah orang Islam, dengan melafazkan Dua Kalimah Syahadah dengan ikhlas, yakin dan memahami maksudnya. Antara syarat memeluk agama Islam adalah mengucapkan/melafazkan Dua Kalimah Syahadah dalam Bahasa Arab, pada masa mengucap Dua Kalimah Syahadah itu, seseorang hendaklah sedar/faham bahawa ia bermakna: "Aku naik saksi bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan aku naik saksi bahawa Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah" dan pengucapan/lafaz itu mestilah dibuat dengan kerelaan hati tanpa ada paksaan serta diamalkan dengan anggota/perbuatan.
Adalah dinasihatkan supaya mana-mana individu yang menguruskan pengislaman seseorang hendaklah bertanggungjawab untuk memberi penerangan mengenai Islam, pengertian Dua Kalimah Syahadah, tugas dan kewajipan sebagai seorang Islam. Jika majlis pengislaman dibuat di hadapan selain daripada Pendaftar Muallaf, individu tersebut hendaklah bertanggungjawab membawa Saudara Baru tersebut kepada Pendaftar Muallaf bagi tujuan urusan pendaftaran.
Sekian, terima kasih.