Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum.
Saya nak tanya, situasinya begini. Si Suami cakap "kalau kau ugut lagi, aku ceraikan kau" . Lepas beberapa hari. Si isteri ugut suami dengan perkara yang sama lagi. Jadi macam mana ye? Jatuh ke ye talak? Talak berapa ye? Kalau isteri ugut perkara yang sama itu berkali-kali, maknanya macam mana pula ye?
Sekian. Terima kasih.
Jawapan
Menjawab persoalan puan di atas, lafaz tersebut termasuk dalam cerai secara taklik. Taklik adalah lafaz yang diucapkan sebagai syarat untuk membatalkan pernikahan jika berlakunya perlanggaran terhadap apa yang disyaratkan itu.
Taklik juga bermaksud: menggantungkan perceraian kepada sesuatu masa atau sesuatu perbuatan seperti kata suami kepada isterinya: “Kalau kau ugut lagi, aku ceraikan kau.” atau sebagainya. Sekiranya berlaku perlanggaran pada syarat taklik tersebut iaitu isteri membuat ugutan sebagaimana yang suami maksudkan, maka boleh membawa berlakunya perceraian.
Berkaitan jumlah talak, ia bergantung adakah sebelum ini ada berlaku perceraian, sekiranya sebelum ini pernah berlaku cerai talak satu, maka talak taklik ini sekiranya disahkan jatuh maka ia adalah talak yang kedua, begitulah seterusnya. Adapun sekiranya sebelum ini belum pernah berlaku perceraian, maka sekiranya taklik ini jatuh maka ia adalah talak yang pertama.
Adapun berkaitan isu sekiranya isteri ugut berulang kali maka, ia bergantung kepada lafaz taklik suami. Contohnya suami melafazkan taklik "Setiap kali kau buat ugutan , maka jatuhlah talak", lafaz ini akan mengikat isteri setiap ulang ugutan maka talak akan jatuh dengan ulangan ugutan tersebut.
Walau bagaimanapun, sekiranya timbul pertikaian antara suami atau isteri, terutama berkaitan kesahihan lafaz taklik atau pertikaian terhadap berlaku atau tidak pelanggaran terhadap syarat taklik tersebut, atau jumlah talak yang mungkin jatuh maka puan dan suami hendaklah hadir ke mahkamah syariah yang berhampiran dengan kadar segera untuk membuat pengesahan berhubung lafaz taklik dan perlanggaran syarat taklik yang mungkin berlaku. Suami perlu memberi keterangan tentang apa yang dilafazkan dan isteri pula tidak wajar berdiam diri sekiranya wujud keraguan dan pertikaian terhadap pelanggaran syarat taklik tersebut.