Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum ustaz,
Saya berumur 45thn dan isteri berumur 40thn. Akan tetapi isteri saya telah jatuh sakit dan lanjutan itu dia tak boleh disetubuhi dan nafsu syahwatnya juga hilang.
Persoalan/permasalahan saya sekarang sebagai lelaki yg normal dan masih lg bernafsu ada ketika saya tidak dapat menahan nafsu akan tetapi saya tak boleh bersama dgn isteri atas sebab kesihatan beliau (seperti di atas).
Bolehkan saya beronani utk meredakan nafsu td, umpama kata org sekarang 'air naik kepala'. Kalau tidak mmg sy tak boleh duduk dan runsing.
Untuk berkahwin lain mmg saya tak mampu dan tak sanggup dgn keadaan isteri saya yg sebegitu. Ada pendapat ulamak supaya berpuasa, tp puasa sebelah siang, malam pulak bagaimana, meracau saya dibuatnya 'bil air tertunggak'.
Saya tahu onani itu haram, tp dalam situasi sebegini bagaimana ustaz. Harap dapat membantu.
Jawapan
Dari sudut bahasa, onani menurut Kamus Dewan Edisi Keempat ialah perbuatan mengeluarkan mani dengan tangan. Lafaz الاستمناء atau onani itu berasal dari kata terbitan استمنى yang bererti usaha mengeluarkan air mani.
Manakala dari sudut istilah ia membawa maksud: “Mengeluarkan air mani tanpa melalui proses persetubuhan, sama ada secara haram seperti menggunakan tangan bagi memenuhi tuntutan syahwat, ataupun secara tidak haram, seperti mengeluarkan air mani melalui tangan isteri”.
Menurut pandangan Ibnu Hajar al-Haitami dalam kitabnya Tuhfah al-Muhtaj menerangkan istilah onani bahawa ianya adalah mengeluarkan mani tanpa berjimak, haram hukumnya seperti menggunakan tangannya, atau harus dengan menggunakan tangan isterinya. Oleh yang demikian, sekiranya dikhuatiri akan membawa mudarat yang lebih besar seperti akan melakukan zina, maka dibolehkan ke atas suami untuk beronani tetapi dengan syarat menggunakan tangan isterinya.