Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Tuan. Mohon izin bertanya. Saya telah membeli rumah di Johor di mana saya telah bekerja di sana selama 10 tahun. Pada bulan 9 tahun lepas saya telah dipindahkan tempat bekerja di Tanjong Malim dan kini saya menyewa rumah di Hulu Bernam. Saya tidak tahu berapa lama saya akan berada di Selangor dan samada saya akan pulang bekerja ke Johor atau tidak. Buat masa ini saya akan pulang ke Johor untuk melawat rumah saya sebulan atau dua bulan sekali. Adakah boleh saya solat jamak qasar semasa saya di Johor. Terima kasih
Jawapan
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد
Solat jamak dan qasar merupakan rukhsah (kemudahan) dan kelonggaran yang diberikan kepada hamba Allah SWT yang bermusafir pada perkara yang diharuskan melebihi jarak 2 marhalah, iaitu 81 KM. Solat jamak dan qasar diharuskan selama dalam perjalanan. Setibanya di destinasi yang hendak dituju (bukan tempat dia bermastautin atau rumah tetap), seandainya dia berniat untuk tinggal di situ TIDAK melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan hari keluar, maka dia diharuskan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar selama berada di situ. Namun, sekiranya dia berniat untuk tinggal di situ melebihi 3 hari tidak termasuk hari tiba dan keluar, maka dia tidak diharuskan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar setibanya di sana. Ini adalah kerana dia telah dianggap sebagai bermukim.
Walau bagaimanapun, seandainya dia pulang ke tempat dia bermastautin iaitu rumah tetap di mana dia tinggal yang mana dia tidak berniat untuk berpindah ke tempat lain, maka dia tidak diharuskan untuk melakukan solat jamak dan qasar setibanya di sana walaupun berniat untuk menginap tidak melebihi 3 hari.
Merujuk kepada soalan yang diajukan, bergantung kepada niat saudara, seandainya niat saudara untuk menjadikan rumah di Johor sebagai rumah tetap dan tidak berniat untuk berpindah ke tempat lain, ia menjadi tempat saudara bermastautin, maka saudara tidak diharuskan untuk solat secara jamak dan qasar setibanya di sana. Seandainya, saudara berniat bahawa rumah di Johor bukan tempat saudara bermastautin, iaitu saudara mempunyai niat yang kuat untuk berpindah ke tempat lain, maka saudara diharuskan untuk melakukan solat secara jamak dan qasar sebagaimana ketetapan yang dinyatakan di atas.
والله أعلم بالصواب