BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : IBADAH

message user image

  Soalan

Assalamualaikum Tuan Mufti. Persoalan mengenai solat jemaah.

1. Saya seorang pelajar. Di tempat saya belajar terdapat masjid. Apabila waktu cuti, semua pelajar pulang ke kampung (kecuali saya) menyebabkan tiada jemaah di masjid tersebut. Apakah hukum saya melaungkan azan sedangkan saya tahu tidak akan ada jemaah?

2. Seandainya saya azan, namun tiada jemaah lelaki yang hadir, tetapi terdapat jemaah wanita yang hadir. Apakah yang perlu saya lakukan? Laksanakan solat jemaah dengan jemaah wanita ataupun saya solat bersendirian dan jamaah wanita melaksanakan solat jemaah sesama mereka?

Mohon pencerahan Tuan Mufti.

Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Semoga tuan sihat sentiasa. Kami mengambil maklum terhadap persoalan yang telah dibangkitkan.

1. Perbuatan melaungkan azan dan iqamah adalah sunat muakkad kerana ia merupakan syiar keagungan bagi Allah SWT. Ia sunat dilakukan sama ada ketika solat secara berjemaah atau secara bersendirian. Maka dalam hal ini, tidak menjadi satu kesalahan untuk melaungkan azan sekalipun solat secara bersendirian bahkan perbuatan tersebut lebih dituntut dan sunat untuk dilakukan. Imam Nawawi menyebut berkenaan perihal ini bahawa:

"(Di sisi) mazhab kami (pendapat) yang masyhurnya adalah keduanya (azan dan iqamah) itu sunat bagi kesemua solat semasa hadir (tidak bermusafir) dan juga semasa musafir, bagi (solat) berjemaah dan juga solat secara bersendirian. Keduanya itu tidak wajib maka sekiranya seseorang meninggalkan keduanya maka sah solat secara bersendirian dan juga secara berjemaah’’. Rujuk al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab.

2. Sebaik-baik solat adalah apabila ia dilakukan secara berjemaah kerana pahalanya dilipat gandakan berbanding solat secara bersendirian. Akan tetapi, jika keadaan ketika itu boleh menimbulkan fitnah maka sebaiknya dilakukan solat tersebut secara bersendirian. Namun begitu, sekiranya terdapat kelompok wanita ajnabiyyah dan berada di tempat terbuka yang bebas daripada sebarang bentuk fitnah, maka dibolehkan berjemaah bersama mereka.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 138

message user image