Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum Ustaz,
Mohon penjelasan bagi soalan berikut:
1) Jika terkencing di atas lantai rumah, adakah cukup dengan hanya mengemop kawasan yang terkena air kencing tersebut? Saya akan mop kawasan tersebut beberapa kali, dan setiap kali mop saya akan membersihkan mop tersebut di air paip. Hal ini telah berlaku beberapa bulan yang lepas, adakah saya masih perlu membersihkan kawasan tersebut?
2) Apakah yang dimaksudkan dengan mengalirkan air dikawasan najis (contohnya air kencing di atas lantai & tilam)? Jika terkecing di lantai rumah yang jauh dengan bilik air, adakah saya perlu mengalirkan air tersebut sehingga ke bilik air?
3) Anak saya selalu kencing malam, jadi saya telah membeli cadar tilam kalis air. Adakah cukup sekadar saya mengelap air kencing tersebut?
Harap agar pihak ustaz dapat memberi penjelasan bagi soalan soalan di atas.
Terima Kasih.
Jawapan
Merujuk kepada persoalan tuan:
1) Tindakan menggunakan mop untuk menyucikan najis adalah tidak sah kerana tindakan tersebut akan menjadikan mop tersebut menjadi mutanajjis. Ini adalah kerana mengemop tidak dianggap sebagai perbuatan mengalirkan air. Melainkan sekiranya ain air kencing telah dihilangkan dan telah dialirkan ke atasnya air mutlak, maka menggunakan mop untuk mengeringkan air mutlak tersebut adalah diharuskan. Walau bagaimanapun, perkara tersebut telah pun berlaku beberapa bulan yang lalu. Sehubungan itu, tidak timbul lagi isu berkaitan najis tersebut dan tidak perlu lagi dibersihkan kawasan tersebut.
2) Kaedah yang betul menyucikan tempat yang terkena air kencing adalah dengan membuang atau keringkan terlebih dahulu ain najis (air kencing) tersebut dengan mengelapnya menggunakan kain bersih sehingga hilang air kencing itu. Kemudian dialirkan/tuang air ke atas kawasan yang terkena air kencing itu sekadarnya dengan air mutlak, iaitu air itu mengalir di tempat terkena najis tadi. Selepas dari itu, lap air tersebut dengan menggunakan kain atau mop bersih yang lain. Lakukan perbuatan tersebut beberapa kali hingga yakin telah hilang kesan najis tersebut seperti bau. Mengalirkan air mutlak cukup sekadar di tempat yang terkena najis sahaja bukannya perlu dialirkan air mutlak dari tempat yang terkena najis sehingga ke bilik air.
3) Tindakan sekadar mengelap sahaja cadar tilam yang terkena najis (air kencing) adalah tidak sah kerana tindakan tersebut menjadikan kain yang digunakan menjadi mutanajjis. Ini adalah kerana mengelap tidak dianggap sebagai perbuatan mengalirkan air. Melainkan sekiranya ain air kencing telah dihilangkan dan telah dialirkan ke atasnya air mutlak, maka menggunakan kain untuk mengeringkan air mutlak tersebut adalah diharuskan.