Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Assalamualaikum,
Saya bekerja di salah satu syarikat konsesi kutipan pepejal di Malaysia. Saya ingin bertanya, apakah status/hukum bagi sisa makanan non-halal yang diproses menjadi baja/kompos, dari aspek pengurusan sisa makanan tersebut dan penggunaan produk baja/kompos ini untuk tanaman?
Proses yang digunakan adalah pemanasan (heating) sisa makanan pada suhu tidak kurang 55 darjah Celcius, selama tidak kurang 72 jam di dalam mesin kompos. Proses isi disertai dengan pembalikan (turning) supaya pemanasan adalah sekata. Tiada sebarang bahan kimia tambahan di masukkan ke dalam proses ini, melainkan sisa makanan semata-mata.
Selain itu, adakah sisa makanan non-halal ini perlu diproses secara berasingan, atau boleh dicampur dengan sisa makanan halal?
Untuk pengetahuan pihak tuan, sisa makanan adalah salah satu cabaran terbesar di dalam pengurusan sisa pepejal di Malaysia. Terima kasih.
Jawapan
وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته
الحمد لله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلى أله وصحبه أجمعين أما بعد
Merujuk kepada persoalan tuan; secara asasnya baja organik ialah baja yang diperolehi daripada sisa makanan, sisa ladang seperti tanaman, haiwan sama ada halal atau haram atau bahan sampingan kilang industri berasaskan pertanian yang telah reput atau diproses,
Berdasarkan kepada keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia (Jawatankuasa Muzakarah MKI) 1981, bahawa hukum menggunakan baja yang diperbuat daripada tahi babi, iaitu najis mughallazah adalah harus serta makruh. Oleh itu penggunaannya adalah sama seperti penggunaan baja daripada najis haiwan yang halal seperti kambing, lembu, ayam.
Malah, hasil tanaman yang terhasil di darat melalui kaedah tanaman yang menggunakan baja najis haiwan di darat ini juga tidak dianggap sebagai tumbuhan al-jallalah (iaitu tumbuhan yang disirami atau yang hidupnya serta tumbesarannya bergantung dengan baja daripada najis dan kotoran). Hal ini kerana tumbuhan tersebut tidak sepenuhnya mengharapkan nutrisi daripada baja yang digunakan ia juga turut memerlukan nutrisi daripada mahatahari dan air. Baja yang digunakan hanya bertindak sebagai agen pengurai sahaja dan bertindak kepada nutrient tanah dan berperanan sebagai agen luaran untuk menyuburkan tanah sahaja tanpa mengubah rasa atau bau tumbuhan tersebut. Tumbesaran ini telah melalui proses istihalah sahihah secara semulajadi.
Maka, baja organik yang diperbuat daripada makanan yang tidak halal juga hukumnya harus digunakan sama seperti baja yang diperbuat daripada najis haiwan yang haram dimakan. Oleh itu dalam hal ini, sisa makanan yang tidak halal ini tidak perlu diproses secara berasingan daripada sisa makanan lain. Penggunaan baja organik ini amat digalakkan kerana ia bukan sahaja meningkatkan kualiti tumbuhan malah ia tidak mendatangkan kemudaratan kepada tanaman, alam sekitar, mahupun manusia.
Semoga Allah SWT memberi kefahaman yang baik kepada kita dalam mengamali dan menghayati agama-Nya. Amin.
والله أعلم بالصواب