Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.
Soalan
Soalan tentang najis tahi cicak & sah solat.
Saya menghadiri majlis berbuka puasa pada 12 April 2023. Sewaktu datang ke sana, saya dan orang lain sudah berwuduk kerana kami akan solat maghrib berjemaah selepas itu.
Saya tak sengaja tersentuh tahi cicak sementara menunggu waktu berbuka puasa tu.
Kemudian saya dah buang tahi cicak itu dari tangan saya.
Waktu itu saya tak tahu kalau sentuh najis cicak tu tak batal wudhu. Jadi saya pun pergi ambil wudhu..
Sewaktu saya hendak memperbaharui wudu', ada orang bersalaman dengan saya ( cth: si B ) dan waktu tu saya lupa bahawa tadi saya tersentuh tahi cicak
Kemudian, apabila balik ke tempat hendak solat tu, baru saya teringat bahawa sewaktu saya bersalaman, tangan saya belum dicuci.. saya biarkan sahaja situasi itu kerana berasa malu untuk menceritakan hal sebenar & kerana ada kemungkinan si B telah bersalaman dengan tetamu yg lain di situ...tetamu ramai..
jadi, Adakah sah solat si B?
Takpe ke jika saya biarkan sahaja atau ada apa² yg perlu saya lakukan ?
Jawapan
Najis terbahagi kepada tiga bahagian, iaitu najis mukhaffafah (ringan), najis mutawassitah (sederhana) dan najis mughallazah (berat).
1. Najis mughallazah ialah anjing dan babi serta apa daripadanya.
2. Najis mukhaffafah merupakan air kencing bayi lelaki yang hanya minum susu ibunya sahaja dan berumur tidak lebih daripada dua tahun.
3. Najis mutawassitah pula adalah selain daripada kedua-dua jenis najis di atas.
Di samping itu, najis mutawassitah adalah seperti air kencing, najis haiwan dan darah. Oleh itu, tahi cicak termasuk dalam kategori najis mutawassitah. Hal ini kerana menurut mazhab Shafii, tahi, najis, dan air kencing termasuk yang datang daripada haiwan adalah dikira sebagai najis.
Merujuk kepada permasaalahan yang diajukan, setelah puan mengetahui tersentuh tahi cicak, puan perlu menyucikan bahagian anggota yang tersentuh tahi cicak tadi. Di samping itu, disarankan agar puan lebih berhati-hati kerana bab najis ini sedikit sebanyak akan melibatkan perkara yang berkaitan dengan ibadah harian kita terutamanya solat. Berkenaan solat orang yang puan salam (si B) itu juga adalah dikira sah kerana ianya tidak mengetahui hal sebenar.
والله أعلم بالصواب