BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : UMUM

message user image

  Soalan

Assalamualaikum S.S mufti, pertanyaan saya ialah apakah hukum bermain permainan lato - lato di kalangan kanak - kanak di Malaysia, Ini kerana walaupun permainan lato - lato ada mendatangkan kebaikan terutamanya daripada aspek psikologi , namun ianya juga banyak mendatangkan kemudaratan seperti kecederaan pada tangan , risiko menjadi buta dan kerosakan harta benda seperti tingkap kereta yang pecah akibat daripada bermain permainan lato  lato. Bukan itu sahaja, bunyi bising yang datang daripada permainan lato - lato juga sangat mengganggu ketenteraman awam. Wajarkah permainan ini diharamkan di Malaysia? Mohon pencerahan daripada S.S mufti. Terima kasih.


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العلمين والصلاة والسلام علي أشرف الأنبياء المرسلين وعلي أله وصحبه أجمعين أما بعد

Merujuk pada persoalan saudari, hukum asal bermain permainan lato-lato adalah diharuskan. Ini berpandukan kaedah fiqah yang menyatakan :

الأصل في الأشياء الإباحة حتى يدل الدليل على التحريم

Maksudnya: Hukum asal sesuatu perkara adalah diharuskan, sehingga datang dalil (yang menunjukkan) pengharamannya.

Namun, sesuatu permainan boleh menjadi haram, sekiranya permainan tersebut mempunyai unsur atau perkara yang membawa pengharaman seperti:

  1. Mengandungi perkara maksiat.
  2. Mempunyai unsur perjudian dan khianat.
  3. Mengabaikan tanggungjawab terhadap perkara yang diwajibkan.
  4. Faktor ketagihan yang melampau.
  5. Hilang fokus terhadap realiti dan masyarakat sekeliling.
  6. Mendatangkan kemudharatan/ bahaya terhadap tubuh badan dan kesihatan kepada diri atau orang lain.
  7. Menghilangkan akhlak sebagai seorang Muslim.
  8. Mengganggu ketenteraman orang lain.

Ini berdasarkan kepada kaedah fiqh:

ما أدى إلى الحرام فهو حرام

Maksudnya: Sesuatu perkara yang membawa kepada yang haram, maka perkara tersebut hukumnya adalah haram.

والله أعلم بالصواب


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 143

message user image