BANK SOALAN BORANG PERTANYAAN

CARIAN SOAL JAWAB AGAMA

Soal jawab agama adalah merupakan perkhidmatan yang disediakan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor bagi menjawab pertanyaan tentang sesuatu isu dan permasalahan yang diajukan oleh pelanggan berkaitan dengan hukum syarak. Setiap soalan dan jawapan yang telah dikemaskini akan dihimpunkan di sini mengikut kategori yang telah ditetapkan untuk dijadikan rujukan dan panduan kepada masyarakat umum.


Kategori Subjek : MUAMALAT

message user image

  Soalan

Assalamualaikum WBT,

Ibu saya sudah meninggal dunia dan ada mewarisi harta pusaka bernilai rm25,000.00 setelah dijual. Saya bertiga beradik. Saya kakak sulung, ada seorang adik lelaki dan seorang adik perempuan. Adik lelaki saya masih hidup. Adik perempuan saya sudah meninggal dunia terlebih dahulu daripada ibu saya dan adik perempuan saya ini meninggalkan seorang anak lelaki yang sudah dewasa.

Pertanyaan saya adalah apakah anak lelaki kepada adik perempuan saya ini boleh mendapat hak daripada hasil penjualan harta arwah ibu saya yang bernilai rm25,000.

Adik lelaki saya bersetuju untuk membahagi rm25,000 sama rata dengan saya. Apakah cucu lelaki arwah ibu saya dari adik perempuan saya ada juga hak ke atas rm25,000 tersebut. Kalau ya, berapa rm yang patut dia dapat?

Harap mendapat penjelasan dari pihak tuan.

Terima kasih.

 

 

 


message user image

Jawapan  

وعليكم السلام ورحمة الله وبركاته

الحمدلله رب العالمين والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى اله وأصحابه أجمعين أما بعد

Merujuk kepada soalan yang diajukan, cucu lelaki dari anak perempuan, yang mana ibunya telah meninggal terlebih dahulu daripada si mati iaitu ibu kepada ibu (nenek), berhak mendapat wasiah wajibah sebagaimana keputusan Fatwa Negeri Selangor Tahun 2010, seperti berikut:

Pelaksanaan wasiat wajibah adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut :

(i) Anak lelaki dan perempuan daripada anak lelaki dan anak perempuan (cucu) ke bawah adalah layak untuk menerima  wasiat wajibah.

(ii) Hendaklah kedua ibu dan bapa mereka meninggal dunia terlebih dahulu daripada atuk atau nenek atau ibu atau bapa  meninggal dunia serentak dengan atuk atau nenek dalam kejadian yang sama atau berlainan.

(iii) Cucu lelaki dan perempuan bukan merupakan waris kepada harta pusaka datuk. Sekiranya mereka merupakan waris ke atas harta pusaka secara fardhu atau ta’sib  maka mereka tidak layak untuk mendapat wasiat wajibah walaupun bahagiannya sedikit berbanding wasiat wajibah.

(iv) Sekiranya anak lelaki atau anak perempuan berlainan agama dengan ibu atau bapa atau terlibat dengan pembunuhan ibu atau bapa, maka dia tidak berhak mendapat wasiat wajibah daripada harta pusaka datuknya.

(v) Sekiranya datuk atau nenek telah memberikan harta kepada cucunya melalui hibah, wakaf, wasiat dan sebagainya dengan kadar yang sepatutnya diterima oleh anak lelaki atau anak perempuan mereka sekiranya mereka masih hidup, cucu tidak lagi berhak untuk mendapat wasiat wajibah. Sekiranya pemberian tersebut adalah kurang hak yang sepatutnya diterima oleh cucu daripada bahagian anak lelaki atau anak perempuan, maka hendaklah disempurnakan bahagian tersebut.

(vi) Anak akan mengambil bahagian faraid bapa atau ibu yang meninggal dunia terlebih dahulu daripada datuk atau nenek dan kadar tersebut hendaklah tidak melebihi kadar 1/3 daripada nilai harta pusaka. Sekiranya bahagian tersebut 1/3 atau kurang daripada 1/3, maka pembahagian tersebut hendaklah dilaksanakan pada kadar tersebut. Sekiranya bahagian tersebut melebihi 1/3, maka hendaklah dikurangkan pada kadar 1/3 melainkan setelah mendapat persetujuan ahli-ahli warisnya yang lain.

(vii) Pembahagian wasiat wajibah boleh dilaksanakan setelah didahulukan urusan berkaitan mayat, wasiat ikhtiyariyyah dan hutang piutang.

(viii) Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu-cucu yang berhak adalah berdasarkan kepada prinsip faraid iaitu seorang anak lelaki menerima bahagian-bahagian orang perempuan.

Fatwa di atas telah dikemaskini dan dipinda oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Selangor melalui warta bertarikh 26 April 2018 yang menyatakan bahawa Fatwa Hukum Pelaksanaan Wasiat Wajibah yang diwartakan pada 6 Januari 2011 dipinda dengan menggantikan perenggan (viii) dengan perenggan berikut:

"Pembahagian wasiat wajibah kepada cucu lelaki dan perempuan yang berhak adalah berdasarkan kepada hukum faraid iaitu mengikut nisbah yang telah ditentukan oleh syarak".

 

Sila rujuk pautan berikut untuk bacaan lanjut. https://www.muftiselangor.gov.my/awam/fatwa/fatwa-terkini/195-hukum-pelaksanaan-wasiat-wajibah

Rujuk juga warta pindaan fatwa di pautan berikut https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/pewartaan/2017-terkini/798-hukum-perlaksanaan-wasiat-wajibah-pindaan

والله أعلم بالصواب

Sekian, terima kasih.                                                 


Tahun Soalan : 2023
Jumlah Pelawat : 85

message user image